Khamis, 12 Julai 2012

Kemasukan Pelajar Unisel Meningkat Di Bawah PR





SHAH ALAM: Meskipun dilemparkan dengan pelbagai isu negatif ketika berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor, permintaan melanjutkan pelajaran di Universiti Selangor (Unisel) telah meningkat dengan mendadak semenjak kebelakangan ini.

Demikian menurut Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Dr Anuar Ahmad ketika ditemui di Lobi Dewan Annex semalam.

“Campur yang belum graduasi hingga Oktober ini lebih kurang 2,800, pelajar yang sedang belajar 10,800 bermakna 13,600 adalah yang tertinggi pernah dicapai dalam sejarah Unisel.

“Jumlah permohonan kemasukan baru pula lebih 5,000 yang kita terima, tetapi kita cuma boleh ambil 1,500 hingga 2,000 sahaja lagi.

“Ini adalah yang tertinggi pernah dicapai dalam sejarah Unisel sehinggakan untuk ‘pengambilan’ Julai ini saya sangat risau, takut tak cukup tempat di Unisel,” kata beliau.

Sementara itu ketika ditemubual dalam rakaman program Terus Terang terbitan TV Selangor, Dr Anuar menjelaskan setakat ini terdapat lebih 15,500 pelajar mengikuti pelbagai kursus di instituasi pengajian tersebut.

Menurut Dr Anuar, sesetengah fakulti terpaksa membuat tapisan dengan mengadakan temuduga terhadap calon pelajar bagi memastikan yang benar-benar layak menyambung pelajaran di Unisel.

Dalam isu yang sama, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali pula mengucapkan terima kasih kepada pemimpin Umno-BN yang memberikan ‘publisiti percuma’ kepada Unisel.

“Terima kasih jugalah kepada Umno-BN kerana beri ‘publisiti percuma’ kepada Unisel walaupun mereka cuba memperkecilkan Unisel,” ujar Halimah.

Unisel adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pengajian peringkat diploma hinggalah ke peringkat Doktor Falsafah itu merupakan milik penuh Kerajaan Negeri Selangor.

Tiada ulasan: