Sabtu, 21 Julai 2012

Jawi anjur program salam Ramadan bantu gelandangan di ibu Negara

THE MALAYSIAN  INSIDER
 

KUALA LUMPUR— Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menganjurkan program Salam Ramadan bagi membantu golongan kurang berkemampuan khususnya gelandangan di ibu negara menunaikan ibadah puasa.

Pengarah Jawi Datuk Che Mat Che Ali (gambar) berkata menerusi program tersebut, jabatan itu akan menyediakan juadah berbuka dan sahur bagi golongan gelandangan pada setiap Khamis dan Jumaat sepanjang bulan Ramadan di Masjid Jamek Bandaraya.

Di bawah program itu juga, Midnight Run yang disertai 120 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Sahabat Motor akan mengagihkan 200 bungkusan makanan untuk bersahur kepada golongan gelandangan di sekitar ibu negara pada setiap Khamis dan Jumaat, katanya.

“Program ini adalah salah satu usaha Jawi dalam mengimarahkan masjid di bulan yang mulia ini supaya mereka yang tidak berkemampuan dapat menunaikan ibadah puasa dan solat Tarawih seperti orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Salam Ramadan 1433 Hijrah peringkat Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini. — Bernama

Tiada ulasan: