Isnin, 16 Julai 2012

Isu air: Selangor mahu campur tangan dalam Syabas

KEADILAN DAILY

SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan, kerajaan negeri tidak akan berdiam diri berikutan pengumuman Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkenaan catuan air di negeri itu.



Menurut beliau, tindakan campur tangan itu terpaksa diambil susulan pengumuman yang meragukan, ditambah pula beberapa kegagalan Syabas dalam menangani masalah air.

“Kerajaan negeri membuat keputusan menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi untuk memberi notis kepada Kerajaan Persekutuan untuk kerajaan negeri “step-in” dalam operasi Syabas.

“Ini jelas ditunjukkan apabila Syabas setakat bulan April 2012, mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion.

“Syabas juga gagal menurunkan kadar air tidak terhasil (non-revenue water) kepada 20 peratus.

Tambah pula, laporan awal audit mendapati Syabas tidak melaksanakan kerja-kerja capex (capital expenditure) mereka dengan baik,” katanya pada kenyataan.

Berhubung pengumuman mengejut Syabas yang mahu mengadakan catuan air di kawasan utama di Lembah Klang, Menteri Besar itu sebaliknya mahukan satu pemantauan khas berhubung perkara tersebut.

“Untuk menjaga kepentingan rakyat Selangor, kerajaan negeri meminta Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Pengawal Selia Air Negeri untuk memantau perkhidmatan air oleh Syabas.

Jawatankuasa ini akan minta Syabas memberi laporan harian untuk menerangkan kedudukan air semasa.

“Konsortium Abass juga akan diminta menyertai jawatakuasa ini yang mana syarikat itu akan memanggil pakar bebas yang berpengalaman semasa krisis air 1998 untuk memantau kesahihan laporan dan maklumat oleh Syabas,” ujar Khalid.

Tambahnya, kenyataan Syabas itu sama sekali bertentangan dengan hakikat sebenar kerana kesemua empangan penuh.

“Perlu ditekan di sini, keadaaan sekarang tidak boleh disamakan dengan krisis air pada 1998 kerana tujuh empangan negeri di seluruh Selangor mempunyai kapaisiti air yang cukup dan melimpah.

“Kerajaan negeri menggesa supaya proses penstrukturan semula industri air diteruskan dengan segera kerana Syabas jelas tidak berkemampuan untuk memberi perkhidmatan air yang baik kepada pengguna,” katanya.

Tiada ulasan: