Jumaat, 20 Julai 2012

Isu Air: Menteri dibidas 'kurang keberanian politik'

MALAYSIA KINI
 
 
 
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Peter Chin dibidas kerana didakwa "kurang keberanian politik" untuk meluluskan cadangan awal kerajaan Selangor untuk menyusun semula industri air di negeri itu.

"Sejak 2008, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan beberapa kertas cadangan kepada KeTTHA untuk menstruktur  semula industri air di Selangor secara sempurna atau pun holistik.

"Kegagalan Menteri KeTTHA, Datuk Seri Peter Chin untuk memberikan persetujuan kepada cadangan Kerajaan Negeri atas sebab-sebab politik merupakan halangan kepada penstrukturan semula ini," kata Exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong dalam satu kenyataan semalam.

Beliau yang juga ADUN Bukit Lanjan juga berkata, keengganan Kerajaan Pusat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor dalam jawatankuasa kabinet mengenai isu air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang baru ditubuhkan, "mencerminkan telatah 'partisan' dan berat sebelah mereka".

"Sudah tentu Jemaah Menteri Kerajaan Pusat faham bahawa sebarang perbincangan yang tidak melibatkan Kerajaan Negeri Selangor tidak akan mencapai keputusan yang bermakna.

"Ini merupakan satu lagi contoh sikap penghalang Kerajaan Pusat: politik dan keuntungan kroni didahulukan, rakyat dibelakangkan," tegas Elizabeth.

Pembentukan panel lima anggota itu diumumkan oleh Chin semalam dan diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tiada ulasan: