Selasa, 24 Julai 2012

Guan Eng jadikan rai berbuka puasa tugas rutin

Mohd Sabri Said,

(Lim Guan Eng berbuka bersama Mujahid dan Salleh)

PULAU PINANG: Seperti biasa sebagaimana di tahun-tahun sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak lepas peluang melangkah mendaki tangga masjid, surau atau pun dewan semata-mata untuk meraikan majlis berbuka puasa bersama masyarakat Islam.

Beliau lazimnya akan datang bersama rombongan dari pejabatnya, wartawan akhbar Cina dan sebahagian Exco Kerajaan Negeri berbangsa Tiounghua tidak segan silu untuk makan bersama kepimpinan parti PAS dan PKR.

Beliau juga kadang-kadang bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) serta masyarakat sekitar dengan duduk bersila, tanpa menggunakan sudu dalam keadaan sentosa dan harmoni.

Beliau mula menghadiri majlis berbuka puasa ketika PAS Negeri Pulau Pinang mengadakan majlis di Restoran Nasi Kandar Kassim Mustaffa, Seberang Jaya.

Waktu itu Allahyarham Datuk Hamdan Abdul Rahman menjemput beliau selaku Ketua Menteri untuk merasai bersama kenikmatan Umat Islam menanti saat-saat berbuka.

Ramai kepimpinan PAS berbagai peringkat hadir di hari tersebut.  Ada yang rasa terkejut melihat kesudian Lim Guan Eng untuk pertama kalinya duduk semeja menikmati juadah berbuka.

Itulah kelainan PAS yang tiada dalam parti lain kerana sanggup melebarkan kebaikan Bulan Ramadhan kepada masyarakat bukan Islam sebagai tanda mereka juga layak merasai apa yang Umat Islam laksanakan ketika bulan yang penuh dengan keberkatan ini.


(Di samping berbuka, Guan Eng juga memberikan sumbangan)

Peristiwa di tahun 2008 merupakan sejarah yang sukar dipadam sebab itulah kali pertamanya PAS menjemput seorang Ketua Menteri yang bukan Islam dengan harapan menjadi contoh pada pihak lain atau kepimpinan masyarakat lain agar tidak menyempitkan skop dakwah yang hanya tertumpu pada percakapan semata-mata.

Sebaliknya perbuatan mengajak masyarakat bukan Islam hadir ke majlis berbuka puasa, mendengar tazkiran pendek, mendengar kuliah sempena bulan keagungan Islam dan sebagainya.

Ia adalah satu tugasan yang mungkin dianggap baru selepas fenomena tsunami politik yang menyaksikan Pakatan Rakyat menguasai beberapa negeri termasuk Pulau Pinang yang selama ini berketua menterikan bukan Islam.

Semalam sekali lagi, Lim dan rombongan diraikan dalam majlis berbuka puasa oleh PAS Negeri di Restoran D' Pauh Garden, Jalan Permatang Pauh berhadapan dengan Politeknik Permatang Pauh.

Kali ini di bawah kepimpinan Datuk Saleh Man yang meneruskan kelangsungan sikap yang ditunjukkan oleh bekas Pesuruhjaya PAS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Permatang Pasir dari tahun 1999 sehingga 2008.

Cara pendekatan Allahyarham ketika itu banyak digali hasil pengalaman perjuangan bersama Allahyarham Ustaz Haji Zabidi Ali, pesuruhjaya PAS sebelum ini.

Selepas daripada menghadiri majlis bersama PAS ketika itu Lim Guan Eng dikatakan kerap dijemput berbuka puasa di serata masjid dan surau.

Yang anehnya, beliau tidak pernah menolak sebaliknya memenuhi undangan berkenaan walaupun ada di kalangan Umno menabur fitnah kerana terlalu dengki ekoran kegagalan mereka melakukan perkara
yang sama terhadap Koh Tsu Koon.

Lim selalu berkata ketika diberikan peluang berucap bahawa beliau rasa seronok berada dalam majlis seumpama ini dan berasa bangga dengan Umat Islam kerana sanggup tidak makan dan minum di siang hari semata-mata kerana menuruti kehendak Islam.

Jika berada dalam majlis sumbangan kepada para Huffaz pula beliau pastinya mengatakan syabas kepada golongan yang boleh menghafal ayat-ayat Al Quran dalam tempuh setahun, dua tahun dan sebagainya.

Hafalan bukan perkara mudah dan sukar dilakukan jika sekiranya mereka tidak minat, mempunyai hati yang bersih dan pemikiran jernih.

Itulah kelainan yang ada pada Ketua Menteri Pulau Pinang yang melancarkan konsep Cekap, Akautabiliti dan Telus (CAT) serta menjadikan pemerintahan Omar Abdul Aziz sebagai pedoman yang tidak mengamalkan rasuah, kepentingan diri, penyalah gunaan kuasa dan berhati rakyat.

Tiada ulasan: