Pelancong yang mengunjungi Melaka kini berpeluang melihat secara dekat sejarah hidup Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang menawarkan kediaman lama beliau sebagai galeri.

Mempamerkan kira-kira 20,000 barangan termasuk gambar Mohd Ali ketika zaman persekolahan selain cenderamata yang dihadiahkan kepada beliau, Galeri Mohd Ali Rustam itu dibuka rasmi malam tadi.
  
Bercakap kepada pemberita selepas pelancarannya, Mohd Ali berkata kediaman itu terletak di atas tanah pusaka milik keluarganya dan mula dibuka kepada umum sejak semalam dengan bayaran masuk RM1.
  
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai yang memiliki gambar lama beliau agar mempamerkan gambar berkenaan di galeri tersebut.
  
Selain galeri itu, Melaka turut menempatkan Galeri Tun Ghaffar Baba, Galeri Ketua Menteri Melaka dan Galeri Budaya Cheng Ho.   - Bernama