Ahad, 22 Julai 2012

Gaji Orang Atas Diberhenti Apabila Kerajaan Selangor Ambilalih Syabas





PETALING JAYA : Antara gaji bulanan yang akan diberhentikan kata Menteri Besar, adalah Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana tidak menjalankan tugas sepertimana dipertanggungjawabkan.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata walaupun pengerusi eksekutif itu dibayar gaji bulanan sebanyak RM 400,000 sebulan, beliau masih tidah dapat memastikan semua rakyat Selangor mendapat bekalan air terawat yang konsisten dari Syabas.

“Sebab apa saya tak nak bayar? Gaji itu dia tak buat kerja, dia dapat mana boleh. Saya tak boleh bagi gaji buta.

“Boleh jadi sebelum 2008 dia boleh dapat gaji buta tapi sekarang tak boleh sebab kalau tidak saya suruh rakyat semua pergi ke rumah dia tuntut duit itu.

“Saya mahukan rakyat dapat nilai untuk wang itu,” katanya dalam sidang media selepas majlis perjumpaan dengan pembeli rumah kos rendah di Bangunan Sebaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Selangor akan tetap mengambilalih pengurusan Syabas selepas syarikat konsesi air itu gagal memberikan perkhidmatan kepada pengguna sepertimana termaktub di dalam perjanjian antara ia dan Syabas.

Mengikut perjanjian itu pada 2004, Syabas, sebuah syarikat swasta, dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan sistem rawatan dan pengedaran air di Selangor.

Beliau berkata, Kerajaan Selangor boleh mengambilalih pengurusan Syabas atau “step ini” apabila terbukti syarikat tersebut tidak mampu menjalankan tugasnya kepada pengguna air Selangor.

Baru-baru, Kerajaan Pusat bersetuju melantik sebuah jawatankuasa bagi merancang proses pengambilalihan itu.

Abdul Khalid berkata, apa yang penting semua pihak perlu bekerjasama dalam mencari penyelesaian isu air tersebut demi kepentingan rakyat di Selangor.

“Saya seorang professional walaupun saya ahli politik, tujuan saya bukan untuk menyalahkan sesiapa baik Syabas, Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Selangor.

“Pengguna kata dia nak air bersih, paip dia mesti ada air dengan harga yang terbaik. Tujuan saya apapun saya akan betulkan sehingga pengguna dapat perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Tiada ulasan: