Khamis, 12 Julai 2012

Gaji K/Tangan, Pusat Khidmat Dun Akan Dinaik Kepada RM1,500





SHAH ALAM  : Kerajaan Negeri Selangor akan mengkaji semula pengstrukturan gaji kepada kakitangan yang berkhidmat di Pusat Khidmat Dun dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkara terbabit perlu diselaraskan kerana ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Katanya, gaji pokok akan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan dan penambahan kakitangan di pusat khidmat itu juga akan ditambah kepada tiga kakitangan.

Selain itu, Kerajaan Negeri akan meminta Suruhanjaya Perkhidmatan negeri untuk mengkaji elaun petugas dewan Dun yang dikatakan tidak disemak sejak tahun 2004.

Abdul Khalid menambah, Kerajaan Negeri juga akan memberi peluang kepada pekerja bertaraf kontrak untuk diserapkan kepada jawatan tetap.

“Dalam masa terdekat ini saya akan bentangkan di Mesyuarat Exco untuk tindakan dan pandangan semua pihak,” katanya yang menjawab cadangan Ng Suee Lim (Sekinchan -DAP).

Sebelum ini, Adun Skinchan, Ng Suee Lim mencadangkan Kerajaan Negeri supaya menyelaraskan gaji minimum kepada kakitangan Pusat Khidmat Dun.

Katanya, gaji pokok kakitangan terbabit sebelum ini adalah sebanyak RM1,100 dan kakitangan Kerajaan Negeri yang bertaraf kontrak lebih dari 10 tahun perlu diserap kepada jawatan tetap supaya kebajikan mereka di terjamin.

Tiada ulasan: