Khamis, 19 Julai 2012

Felda bazir RM2 juta anjur kursus

 
Timbul tanda tanya bagaimana Felda boleh memberi kontrak menguruskan seminar kepada syarikat JP International yang diisytiharkan tutup.




KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman mendakwa Felda melakukan pembaziran apabila memberikan tender projek sebanyak RM2 juta kepada syarikat hanya untuk menguruskan satu seminar.

Pengerusi Anak Mazlan Aliman berkata syarikat terbabit, JP International Sdn Bhd diberikan tanggungjawab menguruskan Seminar Transformasi Kepimpinan Felda pada 8 hingga 10 Julai lalu di Hotel Sunway Putra di sini.

Katanya, walaupun seminar itu dihadiri 400 peserta yang terdiri daripada pegawai tertinggi Felda dan anak syarikat Felda, JP International telah mengemukakan tuntutan (claim) RM2 juta sebagai jumlah kos sepanjang tiga hari seminar itu berlangsung.

Namun menurut Mazlan apa yang lebih memeranjatkan JP International diisytiharkan ‘tutup’ (dissolved) selepas pihaknya menyemak status syarikat tersebut dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Melalui semakan data SSM itu juga, JP International yang ditubuhkan pada tahun 2002 pada awalnya didaftarkan atas nama Bayam Corporation Sdn Bhd dan menjalankan jenis perniagaan am.

“Menjadi tanda tanya bagaimana Felda boleh memberi kontrak menguruskan seminar kepada syarikat yang diisytiharkan tutup,” soalnya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau juga mendakwa mempunyai bukti apabila Felda akan menjelaskan jumlah bayaran terbabit kepada JP International dalam masa terdekat.

“Kita minta pengurusan tertinggi Felda jawab dan apa kaitannya syarikat ini dengan pemimpin tertentu dalam FGVH,” katanya.

Tiada ulasan: