Rabu, 11 Julai 2012

Fail rayuan kes Anwar sudah dijangka

Salmiyah Harun,
 
KUALA LUMPUR: Tindakan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat sudah dijangka.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mat Akin, tindakan rayuan itu sekali gus disifatkan sebagai rayuan terpilih.

Beliau juga percaya, kerajaan akan berterusan mengasak  Anwar untuk memastikan Ketua Pembangkang itu tidak berada di pentas politik.

"Mereka akan asak Anwar dan mereka sanggup membuat rayuan walaupun Mahkamah Tinggi mendapati tidak ada bukti kukuh di mana ia tidak perlu lagi dilanjutkan kes itu," katanya kepada Harakahdaily.

Januari lalu, Mahkamah Tinggi  membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Semalam, Ketua bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Kamaluddin Md Said mengesahkan petisyen rayuan telah difailkan kelmarin.

Pihak Pendakwaan mempunyai sehingga hari ini untuk memfailkan rayuan selepas semua pihak telah memperolehi penghakiman bertulis oleh hakim Datuk  Mohamad Zabidin Md Diah.

Zabidin mengeluarkan penghakiman bertulis Isnin lalu dan pendakwaan mempunyai 10 hari untuk memfailkan rayuan.

Tiada ulasan: