Selasa, 10 Julai 2012

Elemen rasuah: Najib disaran ambil iktibar kerosakan MRT Singapura

Oleh Masdar Wahid


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disaran mengambil iktibar berhubung kritikan rakyat Singapura terhadap kerosakan perkhidmatan sistem pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT) negara itu.



“Kalau MRT Singapura yang memiliki reputasi tinggipun boleh rosak, inikan pula MRT Malaysia yang memiliki elemen rasuah?

“Sebab itu, kita desak Najib ambil iktibar dan jelaskan kepada rakyat berapakah kos sebenar projek ini,” kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

Beliau mengulas laporan Jawatankuasa Siasatan (COI), bahawa syarikat pengendali MRT Singapura, SMRT Corp Ltd, lebih mementingkan keuntungan berbanding kualiti perkhidmatan ekoran ribuan penduduk terkandas hampir dua jam pada 18 April lalu.

Laporan itu dikeluarkan 5 Julai lalu dan turut menyatakan ia gangguan ketiga berturut-turut di lapan stesen melibatkan

seksyen baru MRT Singapura sepanjang 36 kilometer termasuk perhentian yang baru dibuka sejak enam bulan lalu.

Rafizi yang mendapat maklumat daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) mendedahkan, kos projek MRT Sungai Buloh-Kajang melonjak kepada RM100 bilion berbanding anggaran asal hanya RM37 bilion.

“Kita tidak mahu kos berubah-ubah dan berlaku ketirisan dalam projek ini kerana lonjakan RM63 bilion itu sangat tinggi.

“Kos ini bukan sahaja membeban pembayar cukai, malah kesan akhirnya juga sudah pasti ditanggung generasi akan datang,” kata pakar ekonomi itu lagi.

Bagaimanapun, Najib kekal membisu mengenai skandal projek ini.

MRT merupakan projek infrastruktur terbesar di Malaysia dan dijangka mula dilaksana suku kedua atau ketiga tahun ini dan dijangka siap pada 2016.

Laluan MRT sepanjang 51 kilometer dari Sungai Buloh ke Kajang mempunyai 31 stesen, melalui Bandar Utama, Damansara, Taman Tun Dr Ismail, pusat bandaraya Kuala Lumpur dan Cheras.

Pada 5 Mei tahun lalu, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika kos MRT itu RM60 bilion, ia bakal melonjakkan kadar keberhutangan negara melebihi paras 60 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Oleh itu, Anwar mendesak Najib menubuh panel bebas bagi menyemak kos dan keberkesanan projek MRT, namun Perdana Menteri itu enggan mengulasnya.

Tiada ulasan: