Ahad, 1 Julai 2012

'Demi Islam, Saya Tidak Takut Digam TV' - Abby Abadi


KELAB GREENBOC


Kuala Kedah: "Demi agama Islam, saya tidak lagi takut kepada manusia dan bimbang akan kehilangan semua kerana ianya datang daripada Allah.

Sekiranya saya tidak dibenarkan lagi keluar di televisyen ... tak apalah, sebab saya sayangkan agama saya."

Demikian luahan Arbaiyah Abdul Manan atau lebih dikenali Abby Abadi, pelakon yang terkenal dengan watak Inspektor Aliza, yang menyampaikan perkongsian pengalaman penghijrahannya dekat sini dalam majlis anjuran Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah, 26 Jun lalu.

Mendengar penuh tekun ceritanya selain masyarakat setempat yang memenuhi pekarangan Pasar Besar ialah Adun Kubang Rotan, Nasir Mustafa, Ketua Penerangan Kuala Kedah, Ustaz Ridwan Abu Bakar dan Ketua Pemuda Kawasan, Azizi Abdullah.

Abby menyampaikannya penuh santai dan format majlis berbentuk forum, terdiri dua panelis termasuk Nasir dan dikendalikan moderator Solehah Mariam Shaari daripada TV al-Hijrah.

Abby berkata, tidak salah berada dalam majlis anjuran PAS dan mendekatkan diri melalui majlis ilmu kerana cara itu berpeluang berkongsi ilmu agama dengan ustaz, ustazah termasuk ilmuan.

"Sebenarnya baru kini saya faham bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan.

"PAS yang banyak menjemput saya, untuk berkongsi pengalaman sekaligus dapat memberikan sedikit kesedaran kepada di luar sana khususnya artis betapa pentingnya mendekatkan diri kepada agama Allah," katanya.

Kata Abby, selain pentas PAS untuk berkongsi pengalaman, beliau juga mendapat jemputan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama persatuan wanita.

"Saya seronok berkongsi cerita supaya apabila ada wanita lain melalui peristiwa seperti saya (berhijrah) mereka akan sama-sama mendapat kekuatan melalui perkongsian pengalaman ini," katanya.

Perjuangan sebenar, ujar Abby, ialah apabila seseorang itu semakin dekat pada agama dan sayang kepada Allah dan akan terus bersama platform PAS dan NGO Islam yang lain demi memperjuangkan Islam.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana mendapat banyak ilmu agama, selepas mendekati kuliah-kuliah dan bersama gerakan Islam yang tidak jemu-jemu membimbingnya.

"Sebelum masuk ke majlis seperti ini, orang cakap macam-macam, cakap tak sedar diri, dulu dalam bidang seni sekarang baru berubah.

"Namun bila bersama mereka tidak pernah memburukkan sesiapa sebaliknya perkongsian sering berkisarkan agama, fardu ain, tentang kematian," katanya.

Menurut Abby, untuk sementara waktu beliau masih mencari erti perjuangan sebenar dan memahami konteks agama serta politik tidak dapat dipisahkan sebelum mengambil langkah seterusnya.

"Bukan saya tak nak jadi ahli PAS atau nak mengelakkan tetapi masih ramai di luar sana tidak faham agama dan politik tidak boleh dipisahkan.

"Nak tarik orang masuk parti bukan senang, kena perlahan-lahan ... sebab itu saya masih belum lagi mendaftar sebagai ahli PAS dan apabila saya betul-betul faham baru akan sertai ... bukan tak nak masuk, sabar ya," katanya.

Selain jemputan ke majlis dan pentas ceramah, Abby turut berkongsi pengalaman dan berdakwah melalui laman facebook untuk memberi sedikit kesedaran kepada peminat dan rakan-rakan artis yang lain supaya kembali ke ajaran agama.

"Bila dah belajar, saya rasa malu, dulu tak bertudung...dan kini alhamdullilah saya sudah berhijrah dan mudah-mudahan kekal berterusan.

"Ramai yang tidak faham, isunya bukan tudung tetapi aurat wanita yang kita kena jaga keseluruhannya," katanya.

Kini beliau merasa semakin tenang setelah berhijrah dan semakin sibuk memenuhi pelbagai jemputan dari pelosok negara.

Sungguhpun begitu, beliau mengakui melalui pelbagai pengalaman dan cabaran yang banyak di samping mengajarnya erti sabar termasuk diberi jalan untuk berhijrah.

"Allah memberi peluang kedua kepada saya, yang banyak kelemahan dan melakukan pelbagai dosa selama ini.

"Saya terharu dan syukur, walaupun saya serba kekurangan, Tuhan memberikan layanan yang amat baik kepada saya untuk berhijrah," katanya sambil beliau sesekali mengucapkan kalimah 'takbir' yang disambut serentak hadirin.

Selepas forum itu, Abby turut dijemput ke majlis dialog sempena pelancaran Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat Pas Kawasan Kuala Kedah di Kompleks PAS Batu 9, Kota Sarang Semut pada sebelah malamnya dan bertolak esoknya ke Kelantan, bertemu Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat. -Azamin Amin

Tiada ulasan: