Ahad, 22 Julai 2012

DAP: Kenyataan PDRM muslihat politik serang PR

Wartawan Sinar Harian

Guan Eng nafi dakwaan hubungan sulit
Lim Guan Eng
 
 
SHAH ALAM - DAP mendakwa kenyataan pegawai kanan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Khamis lalu bahawa anggota Jemaah Islamiah (JI) dan pengaruh komunis mula meresapi pembangkang sebagai tindakan oportunis politik untuk melakukan serangan tidak berasas ke atas parti itu dan Pakatan Rakyat (PR) tanpa menunjukkan bukti.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga menyifatkan perkembangan terbaru ini sebagai satu muslihat politik pilihan raya untuk menakutkan orang Melayu untuk menyokong Umno dan BN.

"Ini tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan oportunis politik oleh Cawangan Khas untuk membuat serangan tidak berasas ke atas DAP tanpa menunjukkan bukti," kata Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyoal sama ada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berani untuk mengarahkan Cawangan Khas agar menunjukkan bukti kepada rakyat bagaimana komunis telah menyusup ke dalam DAP.

"Jika Hishammuddin gagal melakukan demikian, maka sebenarnya Cawangan Khas yang sudah disusup oleh Umno!

"Taktik terdesak ini tidak berbeza daripada Umno yang mempersoalkan kesetiaan DAP terhadap Malaysia walaupun tiada pemimpin DAP yang telah mendapatkan status Penduduk Tetap Australia seperti seorang menteri MCA.

Dalam kenyataannya, Guan Eng juga menyoal mengapa Cawangan Khas polis masih lagi ingin melawan komunis sedangkan PDRM telah menandatangani perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya pada 2 Disember 1989.

"Jika Cawangan Khas ingin sangat melawan komunis, mereka patut berasa malu kerana gagal melaksanakan tugas dengan mengambil tindakan terhadap Ketua Pemuda, Umno Khairy Jamaluddin.

"Bukankah sepatutnya Khairy ditangkap dan didakwa kerana ingin memulihkan komunisme dengan menubuhkan sekretariat tetap pada 12 Oktober 2009 yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara Pemuda Barisan Nasional dan Liga Pemuda Komunis China (CYL)?

"Ketua Pemuda BN Khairy  telah berkata bahawa sekretariat tetap itu akan membolehkan program-program dua hala yang berterusan untuk mengeratkan hubungan antara dua entiti tersebut," katanya.
Guan Eng berkata, berbanding dengan dakwaan komunis telah menyusup ke dalam DAP, sekretariat tetap antara CYL dan Pemauda Umno adalah hubungan langsung yang dilakukan secara disedari dengan persetujuan penuh Khairy.

"Pegawai atasan Cawangan Khas seperti Mohd Sofian harus letak jawatan kerana gagal bertindak terhadap Khairy dan Pemuda Umno yang menjalin hubungan langsung dengan CYL tetapi sebaliknya memilih untuk mencari bayang-bayang komunis yang tidak wujud dalam DAP," katanya lagi.

Malah apabila para pemimpin DAP ditahan tanpa bicara di bawah ISA, kata Guan Eng, tiada satu pun yang didakwa dengan hubungan komunis.

"Cawangan Khas juga tidak menentang penjalinan hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia bukan sahaja dengan China tetapi juga dengan rejim-rejim Marxis seperti Cuba.

"Adalah jelas bahawa cubaan untuk mengaitkan DAP dengan komunis ini adalah satu muslihat politik pilihan raya untuk menakutkan orang Melayu untuk menyokong Umno dan BN," katanya.

Guan Eng juga berkata, kempen memburuk-burukkan oleh Cawangan Khas terhadap DAP ini adalah sebahagian daripada taktik 3D Umno iaitu penafian hubungan komunis mereka sendiri, taktik kotor untuk menakut-nakutkan pengundi dan penipuan untuk menghubungkan PR dengan puak pelampau dan komunis.

"Taktik terdesak ini tidak lagi berguna kerana rakyat tidak mahu hidup dalam kegelapan. Rakyat ingin hidup dalam pencerahan dengan martabat keinsanan, integriti, kebebasan maklumat, kebenaran, keadilan dan demokrasi," kata beliau lagi.

Tiada ulasan: