Khamis, 12 Julai 2012

Cerai Isteri Kerana Dengar Ceramah Hassan Jati?


KELAB GREENBOC


Cerai isteri hadir ceramah Hasan Ali

KOTA BHARU – Hanya kerana tidak menyokong fahaman politik suami, seorang guru mengajar al-Quran dekat sini diceraikan, semalam.

Proses penceraian ke atas wanita itu, Cik Yah (bukan nama sebenar), 60, berlangsung di Mahkamah Syariah.

Gambar: Cik Yah menunjukkan rekod penceraian selepas hadir perbicaraan di Mahkamah Syariah di sebuah daerah, semalam.

Menceritakan kisah yang menyedihkan itu kepada Sinar Harian, Cik Yah, seorang ahli Umno yang aktif di kawasannya, memberitahu beliau mendirikan rumah tangga dengan lelaki itu, Awang (bukan nama sebenar), dalam lingkungan 70-an, kira-kira 15 tahun lalu, atas dasar suka sama suka.

Menurutnya, ketika itu Awang, seorang penyokong Pas, tidak kisah dengan fahaman politik yang dipegangnya, tetapi beliau mengambil keputusan melepaskan jawatan yang dipegang dalam Wanita Umno bagi menghormati pendirian suami.

“Bagaimanapun, awal bulan lepas, kami bergaduh besar. Ia berlaku selepas saya menghadiri majlis cabutan bertuah yang diadakan di Tanah Merah.

“Saya tidak tahu pun bahawa (bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr) Hasan Ali hadir dalam majlis tersebut,” katanya.

Hasan, yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, dipecat daripada Pas pada 8 Januari lalu kerana mengkritik parti secara terbuka.

Menurut Cik Yah, selepas beliau memaklumkan perkara itu kepada suaminya, suaminya mula mempertikaikan tindakannya turut berada di majlis yang sama.

Pergaduhan bermula di situ dan akhirnya, Awang memfailkan penceraian di mahkamah pada 24 Jun lalu.

Mereka pernah berkahwin sebelum ini dan tidak mempunyai anak.

Cik Yah mendakwa beliau tidak pernah menghalang Awang menyertai mana-mana ceramah politik dan kecewa kerana suaminya pula mengugutnya hanya kerana beliau menghadiri satu ceramah yang dihadiri bekas pemimpin Pas.

Katanya, beliau sudah banyak kali berjumpa dengan imam di kawasan itu mengenai pertelingkahan dengan suaminya dan mendapatkan nasihat bagaimana hendak menyelamatkan rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, katanya, perkahwinan mereka tidak dapat diselamatkan kerana suaminya terus mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati dan membuat keputusan untuk failkan cerai di Mahkamah Syariah.

Cik Yah mendakwa sikap bekas suaminya ini berubah menjadi terlalu sensitif dan panas baran apabila berhadapan dengan perkara berkaitan politik selepas sering menghadiri ceramah politik, yang diadakan setiap hujung minggu, di beberapa tempat di kawasan kediaman mereka.

Beliau syak Awang dihasut rakan-rakan yang berjaya membawa ahli keluarga masing-masing menyokong Pas, sehingga Awang berasa tercabar dan mengambil tindakan menceraikannya kerana perbezaan fahaman politik.

“Sebelum memfailkan cerai, bekas suami saya berkata dia tidak mahu lagi tinggal di rumah bersama saya, tetapi mahu berpindah ke rumah anak-anaknya, yang terletak hampir satu kilometer daripada rumah kami.

“Tindakannya itu menguatkan lagi telahan saya bahawa dia sudah tidak sayangkan saya lagi, sebaliknya mengutamakan politik daripada isteri sendiri,” katanya. -SH

Bercerai angkara fahaman politik

PASIR MAS - Sepasang warga emas yang sepatutnya melalui hari-hari tua dengan penuh bahagia terpaksa menerima hakikat bahawa mahligai yang dibina selama 14 tahun musnah hanya disebabkan perbezaan parti politik masing-masing.

Episod pahit itu terpaksa dilalui oleh Che Hasnah Che Ahmad, 61, dari Kampung Cabang Tiga Chetok dekat sini selepas sah diceraikan dengan talak satu oleh suaminya Yahaya Ibrahim, 71, di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Hafiz Daud di Mahkamah Rendah Syariah Pasir Mas pukul 9 pagi semalam.

Perceraian pasangan tersebut difailkan oleh Yahaya di mahkamah sama pada 24 Jun lalu selepas mereka tidak lagi sehaluan dan kerap bergaduh kerana isu politik.

Che Hasnah bercerita, perceraian kali kedua dalam hidupnya itu berlaku selepas bekas suaminya itu didakwa semakin taksub dengan fahaman parti politik yang menggunakan agama yang dikatakan turut memaksanya menerima fahaman politik berkenaan.

Sebelum bernikah dengan Yahaya, Che Hasnah pernah berkahwin dengan lelaki lain namun jodoh mereka tidak berpanjangan apabila bercerai pada 1995 tanpa dikurniakan anak.

"Kemuncak keretakan rumah tangga kami berlaku selepas saya menghadiri sesi ceramah oleh bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali yang kini merupakan Presiden Jalur Tiga (Jati) di Tanah Merah pada 11 Jun lalu.

"Sebaik sahaja balik daripada majlis tersebut, bekas suami saya marah-marah dan mengatakan saya sesat. Yahaya kemudian berpindah ke rumah anaknya yang terletak tidak jauh dari rumah saya," katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
-kosmo

Ulasan GB

Ini apa punya berita da?

Apakah sekadar nak memburukkan PAS kononnya mencampur adukkan politik dengan rumahtangga?

Atau nak suruh orang datang ramai-ramai dengar ceramah Hassan Jati yang dah takda sambutan tu?

Ketara sangat wartawan yang cuba menggembar-gemburkan isu ini jahil dan tidak mengetahui ajaran dan hukum Islam.

Isteri kalau ingin berpuasa sunat pun jika suami tak bagi tak boleh dilakukan... Inikan pula keluar rumah pergi ceramah! Ini sudah dikategorikan sebagai NUSYUZ. Nusyuz membawa maksud suatu tindakan yang dilakukan oleh isteri yang dianggap menentang kehendak suami dengan tidak ada alasan yang munasabah menurut hukum syarak. Tindakan itulah dikira durhaka.

Cuba membuat berita yang karut-marut tetapi mendedahkan pekung kejahilan sendiri. Bodoh! (pinjam perkataan Ahmad Nisfu)

Tiada ulasan: