Ahad, 1 Julai 2012

Bersih 3.0: Siasatan awam Suhakam bermula 5 Julai

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkembangan terkini Siasatan Awam yang dicadangkan dalam insiden semasa dan selepas perhimpunan awam pada 28 April lalu.

Setiausaha Suhakam, Rodziah Abdul berkata, pihaknya telah memutuskan bahawa siasatan awam tersebut diadakan bermula pada 5 Julai ini.

“Sehingga 21 Jun 2012, Suruhanjaya telah selesai menjalankan semakan ke atas penghujahan awam yang telah diterima daripada orang ramai dalam bentuk dokumen, kenyataan dan rakaman video dan telah mengenal pasti saksi-saksi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, Suhakam sedang menunggu maklumbalas dari pihak polis atas permohonannya, dan peringatan seterusnya telah dikemukakan berhubung tujuan untuk menemubual personel polis yang bertugas semasa perhimpunan awam 28 April.

“Keputusan suruhanjaya untuk menjalankan siasatan awam terhadap dakwaan penggunaan kekerasan oleh pihak berkuasa semasa dan selepas perhimpunan awam 28 April 2012 setelah mengambil kira pemantauan Suruhanjaya dan beberapa faktor lain yang berkaitan, termasuk penyerahan aduan, laporan dan memorandum daripada orang awam, kumpulan hak asasi manusia dan profesional serta kumpulan masyarakat sivil yang lain kepada Suruhanjaya berhubung perkara tersebut yang menggesa agar satu siasatan bebas dijalankan ke atas kejadian tersebut,” ujarnya lagi.

Menurutnya, panel siasatan akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.


Jelasnya, terma rujukan untuk siasatan awam itu adalah untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak semasa dan selepas perhimpunan pada 28 April itu.

“Jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, untuk menentukan bagaimana pelanggaran itu terjadi; apakah arahan pentadbiran dan prosedur, atau aturan yang menyebabkan pelanggaran tersebut; dan individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran tersebut,” katanya.

Katanya, ia untuk mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran tersebut tidak akan berulang.

Tiada ulasan: