Selasa, 24 Julai 2012

Air percuma: Syabas untung RM11 juta tiap bulan, apa nak lagi?

Oleh Masdar Wahid


SHAH ALAM: Exco Selangor, Rodziah Ismail mendesak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyerahkan pengurusan air kepada kerajaan negeri kerana syarikat itu gagal bekerjasama walaupun memperoleh RM11 juta setiap bulan hasil pemberian air percuma kerajaan negeri kepada rakyat.




“Dasar kerajaan Selangor memberi air percuma kepada rakyatnya turut menguntungkan Syabas yang menerima RM11 juta setiap bulan, namun syarikat itu enggan pula bekerjasama dengan kerajaan negeri.

“Jika Syabas tiada idea untuk bagaimana mengurus air tanpa rakyat dikenakan kos tinggi berterusan, maka berilah laluan kepada kerajaan negeri untuk menguruskannya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan itu dalam kenyataan.

Syabas juga dituntut  tidak menjadi dalang utama dengan cuba menyekat bekalan air di Selangor yang terus menghalang umat Islam mempertingkatkan ibadah mereka dalam bulan Ramadhan ini.

Rodziah berkata, walaupun pencatuan air yang ingin dilaksana Syabas terpaksa ditarik balik, namun, isu itu tidak pernah dibincang syarikat itu bersama kerajaan negeri.

“Catuan air tidak wajar dilaksana dalam keadaan umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

“Sempena Ramadhan al-Mubarak dan menjelang Syawal, situasi itu (catu air) amat menyulitkan rakyat, khususnya wanita yang merupakan nadi rumah tangga yang memerlukan bekalan air saban hari,” kata beliau.

Tiada ulasan: