Jumaat, 13 Julai 2012

Ahmad Maslan: 'Himpunan Oren gimik PRU'

Wartawan Sinar Harian

Ahmad Maslan: "Himpunan Oren hanya gimik PRU'
Ahmad Maslan menegaskan pembangkang dan penganjur Himpunan Oren Selamatkan Felda tidak ada apa-apa isu yang hendak dibangkitkan. – Foto Sinar Harian oleh Zulfadhli Zaki
 
 
KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan Himpunan Oren Selamatkan Felda yang hendak diadakan di ibu negara esok hanya satu "gimik politik" pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, beliau tidak nampak adanya apa-apa isu, yang mendesak perhimpunan sedemikian diadakan kecuali pihak penganjur sengaja mahu mengada-adakan isu bagi mencari sokongan.

"Saya tak nampak kecualilah mereka ini sengaja mereka ini, mereka isu yang pada pandangan mereka, kalau tidak dibuat, maka mereka akan rugi ketika pilihan raya (nanti).

"Jadi, (perhimpunan ini) lebih kepada gimik politiklah," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

"Ya, ya gimik untuk pilihan raya, bagi kita, tak ada pa yang ruginya peneroka ini, yang rugi adalah pembangkang," kata beliau yang juga Ketua Penerangan Umno.

Sejak awal minggu ini, beberapa pertubuhan politik dan bukan politik membuat laporan menggesa perhimpunan itu dibatalkan. Difahamkan satu perhimpunan balas juga akan diadakan esok.

Terbaru hai ini, sebuah badan bukan kerajaan membuat laporan polis berhubung hasrat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mahu  mengadakan Himpunan Oren di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini dan kemudian bercadang berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum, petang esok.

Naib Presiden Badan Generasi Prihatin 3R 1Malaysia, Fidel Firaidi Mustafa berkata, laporan polis itu dibuat kerana mahu menjaga kepentingan awam dan tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku.

Pertubuhan itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Himpunan Oren Selamatkan Felda, yang menyasarkan 20,000 orang, diadakan sebagai kemuncak kepada tuntutan agar kerajaan membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, beliau tidak nampak adanya apa-apa perkara lagi yang masih belum memuaskan hati penganjur perhimpunan.

"Saya tidak nampak apa lagi perkara yang mereka tidak puas hati, ini adalah kerja-kerja pembangkang yang ingin memutarbelitkan isu dan segalanya kita sudah jawab, apa lagi mereka tak puas hati? Apa lagi mereka inginkan?

"Perkara ini menimbulkan sesuatu perkara yang amat tidak baik di kalangan orang umum. Apa lagi yang tak cukup di Felda ini? Apa lagi yang tak kena lagi di Felda ini, mana ada kita gadai tanah di Felda ni,
tak ada siapa yang tanah mereka tergadai, tanah peneroka tak tergadai, tanah peneroka tak tergadai, tak ada apa harta yang hilang, apahal mereka sibuk-sibuk sangat ini," katanya lagi.

Tiada ulasan: