Khamis, 12 Julai 2012

77,378 Kediaman Pangsapuri Terima Rebat Air Percuma





SHAH ALAM Sebanyak 77,378 unit kediaman pangsapuri yang masih menggunakan meter air pukal di Selangor telah menerima rebat air percuma semenjak program ini diperkenalkan pada Jun 2010.

Demikian ujar Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad di Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pagi ini.

“Semenjak rebat air percuma diperkenalkan pada Jun 2010, lebih kurang RM11.87 juta nilai rebat air percuma telah diberi kepada 250 kawasan kemajuan pangsapuri yang terdiri daripada 77,378 unit kediaman,” kata Iskandar di hari terakhir persidangan Dun itu.

Selain itu, Iskandar turut memberitahu, sistem kupon yang digunakan pada awal program rebat air percuma telah dimansuhkan berikutan beberapa masalah seperti salah guna kupon oleh pihak pengurusan bangunan dan kelewatan tuntutan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Selain itu, Kerajaan Negeri juga terpaksa menanggung kos tambahan bagi kerja-kerja mencetak kupon.

“Jesteru itu pada 2011, penggunaan kupon telah dimansuhkan dan diganti dengan kaedah pengebilan amaun rebat air percuma secara automatik pada bil air unit kediaman setiap pembeli.

“Kaedah baru ini lebih telus, mudah dan sukar untuk disalah guna oleh pemaju, Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Bersama (JMC).

“Pada 2012, kaedah pemberian air percuma dipermudahkan melalui konsep ‘Lapor dan Dapat’ dengan format tuntutan kepada Syabas yang lebih ringkas supaya pengagihan rebat air percuma dapat dibuat secara lebih berkesan dan meluas kepada semua pangsapuri kos rendah di Negeri Selangor,” jawab Iskandar lagi.

Tiada ulasan: