SHAH ALAM : Seramai 15 keluarga kurang bernasib baik jelas kelihatan gembira apabila menerima sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai sempena bulan Ramadan akan datang daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Penyampaian sumbangan itu disampaikan oleh Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, Timbalan Datuk Bandar, Mohtar Hani dan Timbalan Setiausaha, Roslan Darus.
Mereka yang menerima sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai sebanyak RM100 itu membabitkan ibu tunggal, golongan miskin dan orang kurang upaya (OKU) di Padang Jawa, Kampung Sungai Kandis dan Kampung Jalan Kebun.
Penerima, Azizah Shaari, 48, berkata dia bersyukur kerana ada pihak sudi membantu terutamanya dalam membuat persiapan untuk Ramadan yang akan datang tidak lama lagi.
“Saya bersyukur kepada semua pihak kerana memberi sumbangan ini, sekurang-kurangnya ianya dapat membantu golongan seperti saya,” katanya yang mempunyai 14 orang anak.
Penerima lain, Ismawati Che Wail,44, berkata sumbangan itu dapat membantu sedikit sebanyak dalam penyediaan keperluan harian bulan Ramadan ini.
“Ia dapat membantu golongan ibu tunggal seperti saya dan empat orang anak saya,” katanya.
Sementara itu, Mohd Jaafar berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban golongan kurang bernasib baik di sekitar Shah Alam untuk mengerjakan ibadah puasa dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.
Katanya, sepanjang bulan Ramadan ini, pihaknya akan memberi sumbangan kepada 107 orang daripada golongan warga emas, OKU, ibu tunggal dan keluarga yang berpendapatan rendah serta tanggungan ramai.
Beliau berkata dengan sumbangan itu diharap golongan berkenaan tidak rasa disisihkan daripada golongan lain.
Selain itu, MBSA turut akan menghulurkan sumbangan kepada 80 kakitangan MBSA yang kurang berkemampuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan