Sabtu, 28 Januari 2012

Tinjauan PAS: Pemecatan Hasan Ali beri kesan minima


MALAYSIA KINI

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melalui satu tinjauan yang dijalankan mendapati tindakan PAS memecat keahlian Dr Hasan Ali hanya memberi kesan minimum di kalangan masyarakat Melayu, kata pengarah operasi PPP, Dr Ahmad Zuhdi Marzuki.

Katanya, tinjauan tersebut menggunakan dua kaedah, iaitu dengan menilai komen pembaca di media baru seperti Malaysiakini, Malaysian Insider, Berita Semasa dan Youtube.

Manakala kaedah kedua ialah melakukan wawancara dengan responden terpilih yang mewakili 24 kawasan parlimen di seluruh negara.

Beliau berkata, sekiranya merujuk kepada maklumbalas pembaca Malaysiakini dan Malaysian Insider mendapati "kesan positif pemecatan dilihat lebih ketara berbanding kesan negatif".

"Dengan mengambil kira julat sokongan pengundi Melayu kepada PAS dalam pilihan raya umum 2008 dan pilihan raya kecil selepasnya, iaitu antara 45 peratus hingga 55 peratus, kesan negatif pemecatan Dr Hasan dilihat masih dalam lingkungan julat tersebut.

"Sehubungan itu, boleh disimpulkan kesan negatif pemecatan Dr Hasan Ali tidaklah membimbangkan," kata Dr Ahmad Zuhdi dalam satu kenyataan semalam.

Mengakui tinjauan dibuat dalam tempoh singkat dan kaedah yang agak mudah, beliau berkata temubual responden yang mewakili 24 kawasan parlimen di seluruh negara dapat memberi gambaran awal, kesan pemecatan terhadap pengundi Melayu khususnya pengundi atas pagar.

"Hasil penilaian terhadap komen pembaca berkaitan dengan isu pemecatan Dr Hasan Ali ini, didapati 85 peratus pembaca Malaysiakini dan 67 peratus komen pembaca Malaysian Insider adalah positif terhadap pemecatan itu.

"Manakala bagi pembaca Berita Semasa pula 44 peratus menyokong pemecatan, manakala 49 peratus tidak menyokong dan selebihnya tidak pasti," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, berdasarkan tinjauan penonton klip Youtube berkaitan pengumuman pemecatan itu yang diterbitkan TVPAS pula, mendapati 273 daripada 67,796 penonton, memberi maklum balas sama ada 'like' atau 'dislike' yang didakwanya boleh menjadi petunjuk sama ada menyokong atau tidak.

"80 peratus daripada 273 penonton yang memberi maklumbalas itu, menyatakan ‘like’ yang boleh digambarkan sebagai positif terhadap pemecatan tersebut.

"Melihat kepada penilaian terhadap respon pembaca dan penonton media baru, kesan positif hasil daripada pemecatan Dr Hasan Ali adalah lebih dominan," kata Dr Ahmad Zuhdi.

Menurutnya, tinjauan melalui kaedah wawancara juga dibuat dengan 24 yang dipertua PAS kawasan - yang dianggap berpengalaman dalam kegiatan politik - disebabkan keterlibatan mereka secara langsung dengan masyarakat akar umbi.

Katanya, hasil wawancara itu dapat disimpulkan bahawa ahli PAS tidak langsung menimbulkan reaksi negatif berhubung pemecatan itu.

“Manakala bagi masyarakat awam pula khususnya pengundi Melayu, sembilan yang dipertua PAS kawasan menjangkakan pemecatan itu boleh memberi kesan negatif kepada kawasan mereka, manakala 15 yang lain melihatnya memberi kesan yang positif atau tidak memberi apa-apa kesan,” jelasnya.

Sembilan kawasan tersebut ialah Parit (Perak), Tampin (Negeri Sembilan), Alor Gajah (Melaka), Mersing (Johor), Setiu dan Besut (Terengganu), Arau (Perlis), Jeli dan Gua Musang (Kelantan).

"Berdasarkan hasil wawancara tersebut, boleh disimpulkan penerimaan masyarakat Melayu di kalangan bukan penyokong parti terhadap pemecatan tersebut adalah terpecah dua iaitu 50–50," katanya.

Tiada ulasan: