Ahad, 22 Januari 2012

Selangor bakal Penentu Survival Karier Anwar.

Tun Izhalmi Ishak

alt

Pakatan Rakyat boleh menarik nafas lega untuk sementara waktu kerana berdasarkan kepada kajiselidik bebas yang dilakukan, sokongan kaum Cina lebih berpihak kepada gabungan tiga komponen parti terbesar pembangkang DAP, PKR dan PAS bagi negeri Selangor.

Namun begitu kajiselidik yang dilakukan menunjukkan sokongan masyarakat Melayu semakin beralih arah kepada Barisan Nasional, begitu juga dengan sokongan dari kaum India.

Secara mudah, jika mengikut statistik jumlah penduduk di Selangor sudah mencapai angka 5,411,324 orang dengan 2,999,562 adalah mereka yang layak mengundi pada pilihanraya umum nanti. Komposisi etnik melihatkan Bumiputera (52.3%), Cina (32.1%), India (14.6%) dan lain-lain (0.01%) di Selangor.

Anwar perlu sekurang-kurangnya 85 peratus undi kaum Cina kerana berdasarkan kaji selidik, hampir 60 peratus kaum Bumiputera dan 90 peratus masyarakat India menunjukkan sokongan kembali kepada Barisan Nasional.

Dalam hal ini, Anwar perlu berterima kasih kepada DAP kerana berjaya mengekalkan momentum sokongan masyarakat Cina di pihak Pakatan Rakyat.

Pas juga berperanan dalam menarik perhatian kaum ini sebagai parti yang terbuka dan sanggup menerima sesiapa sahaja sebagai pemimpin, asalkan pembangkang terus menguasai Selangor.

Anwar perlu merasa bertuah kerana UMNO Selangor masih dilanda ketandusan 'kepimpinan'. Belum ada tokoh tertentu yang mampu menarik perhatian dan sokongan rakyat. Pemimpin UMNO masih lagi 'berlaga angin' di antara satu sama lain.

Namun itu bukan jaminan mudah untuk menarik sokongan undi Melayu atau Bumiputera.

Orang Melayu mempunyai sentimen yang berlainan dengan masyarakat Cina, sekali terguris perasaan belum tentu boleh dirawat dalam satu jangka masa yang singkat. Janji-janji manifesto pada pilihanraya umum 2008 masih banyak lagi yang tertunggak. Ini adalah resmi masyarakat Melayu, sudah berjanji perlu ditunaikan dan jangan dikhianati undi dan amanah yang telah diberikan.

Kemahiran Anwar sebagai pemidato tidak perlu dipertikaikan sama sekali. Satu kajiselidik yang dijalankan oleh Universiti Malaya jelas menunjukkan lebih separuh daripada responden bersetuju Anwar adalah seorang pemidato dan penyampai yang baik, berbanding 44 peratus untuk Najib.

Ini adalah kekuatan Anwar sebagai daya penarik (crowd puller) yang mampu mengubah situasi dan sentimen pengundi.

Walaupun begitu rekod Anwar sebagai pemidato terbaik masih belum menjamin kemenangan bagi Pakatan Rakyat. Rekod juga telah membuktikan Pakatan Rakyat tewas kepada Barisan Nasional pada pilihanraya kecil di Hulu Selangor.

Begitu juga dengan kekalahan di pilihanraya kecil DUN Galas, Tenang, Merlimau dan beberapa pilihanraya kecil yang lain.

Anwar perlu cepat bertindak bagi membersihkan imej terpalit sebagai 'tangan ghaib' disebalik tadbir pemecatan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dato' Dr. Hasan Ali dari parti tersebut.

Perlantikan Menteri Besar Selangor memegang portfolio agama sebenarnya memberi tamparan kepada Pas. Ramai dikalangan pemimpin Pas tidak bersetuju dengan langkah tersebut walaupun digantikan dengan jawatan lain dalam Exco Selangor. Akhirnya beberapa pemimpin Pas 'terpaksa' memberi kenyataan akhbar bagi meredakan kemelut perlantikan jawatan tersebut.

PKR juga masih belum keluar sepenuhnya dari kemelut dalaman parti. Kedengaran juga tempias berlaku pertembungan dua kumpulan yang menyokong Azmin Ali dan Nurul Izzah. Kongres PKR di Johor pada bulan November lalu cukup hambar.

Strategi menggesa UMNO meletakkan klausa Perlembagaan Negara, orang Melayu sebagai Perdana Menteri dan laungan runtuhkan pagar negara hampir-hampir memakan diri. Dan kongres yang sepatutnya dijadikan medan mencari pemimpin berkaliber tidak berhasil sama sekali. PKR sendiri semakin kekurangan pemimpin dikalangan orang Melayu.

Senario politik terkini di Selangor sebenarnya tidak banyak memihak kepada Anwar dan PKR. Malah tidak salah jika dikatakan DAP adalah tunjang utama kekuatan Pakatan Rakyat di negeri ini, bukannya Anwar.

Masa cukup singkat bagi Anwar untuk memperbetulkan keadaan parti sebelum tibanya pilihanraya umum.

Malu jika sekiranya Selangor kembali jatuh ke tangan Barisan Nasional. Anwar perlu segera mencari 'turning point' jika tidak mahu Barisan Nasional merampas Selangor.

Tiada ulasan: