KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda PAS pusat menegaskan sayap parti Islam itu berpendirian teguh untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), selari dengan kehendak kumpulan mahasiswa dan Pakatan Rakyat sambil menyifatkan keputusan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) menggunakan undang-undang itu menggantung pengajian lima mahasiswa bukan langkah bijak.
"Menggunakan AUKU bukanlah langkah bijak sebagaimana menafikan hak mahasiswa bersuara juga bukan langkah yang baik," kata Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan.
Dalam tulisan terbarunya di laman Facebook, Nasrudin berkata pihaknya serius untuk memansuhkan AUKU selain telah berulang kali meminta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan pengurusan KUIN agar tidak menggantung kelima-lima mahasiswa pusat pengajian tinggi itu.
"Jelas pendirian kami sehingga kini tidak berubah iaitu mansuhkan AUKU. Pendirian ini bukan kepada kes-kes tertentu atau universiti dan kolej tertentu tetapi meliputi semua termasuk KUIN yang berada di bawah kerajaan negeri Kedah dan ia ditadbir Pakatan Rakyat manakal menteri besarnya dari PAS.
"Pendirian kami tidak berubah dan tegas. Malah beberapa kali saya kemukakan kenyataan kepada menteri besar sendiri, ataupun kepada KUIN menggesa bertindak wajar dan tidak menggantung lima mahasiswanya," katanya.
Pertengahan tahun lalu lima mahasiswa KUIN didakwa di bawah kesalahan AUKU kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.
Dalam perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, kelima-lima mahasiswa itu dijatuhkan hukuman gantung pengajian.
Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran.
Tempoh penggantungan empat mahasiswa yang digantung satu semester sudah tamat.
Ekoran penggantungan itu, kelima-lima mahasiswa itu mengambil tindakan perundangan mencabar keputusan KUIN itu.
Kes itu akan mula disebut pada 12 Mac depan.
Kata Nasrudin, hasratnya untuk menyelesaikan konflik KUIN secara baik "tergendala" ekoran keputusan lima mahasiswa itu membawa kes ke mahkamah.
"Namun hasrat itu tergendala apabila saya dimaklumkan bahawa kes ini akan dibawa ke mahkamah oleh pihak mahasiswa. Maka biarlah mahkamah yang membuat keputusan kerana kes ini telah dihadapkan kepada mahkamah.
"Saya mengambil sikap jika itu adalah keputusan yang dianggap wajar oleh adik-adik mahasiswa KUIN yang digantung pengajian mereka oleh pihak KUIN maka saya akur dan mendoakan agar mereka peroleh kejayaan," katanya.
Lebih gemar mengambil sikap tidak menghukum, Nasrudin berkata pengurusan KUIN dan lima mahasiswa itu pasti mempunyai hujah masing-masing semasa perbicaraan kes bermula.
"Saya tidak mengambil sikap menghukum siapa benar dan siapa pula salah dalam hal mahasiswa lawan KUIN ini. Kerana pastinya kedua-dua belah pihak mempunyai hujah masing-masing dalam mempertahankan sikap dan tindakan yang diambil, tetapi saya mempersoalkan bentuk hukuman dan cara ia diambil," katanya.
Semalam Azizan berkata AUKU akan tetap dikenakan terhadap mana-mana mahasiswa KUIN yang melakukan kesalahan.
Beliau berkata penggantungan lima mahasiwa KUIN tahun lalu dibuat mengikut peruntukan di bawah kesalahan AUKU menambah pengurusan pusat pengajian tinggi itu membuat keputusan berdasarkan undang-undang sedia ada.
"Tindakan dibuat kerana kelima-lima mahasiswa ini melakukan kesalahan dan hukuman dibuat mengikut undang-undang sedia ada, jadi tidak timbul sama ada kerajaan negeri Kedah tidak seiiring dengan kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat yang mahu memansuhkan AUKU," katanya menjawab gesaan kumpulan mahasiswa yang mahu mengetahui pendirian Azizan dalam isu AUKU sehari sebelum itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan