Ahad, 8 Januari 2012

Pembohongan Najib ‘grand design’ kotor Umno

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa cukup kesal dan kecewa terhadap tuduhan dan pembohongan Datk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor yang dikatakan tidak memberikan kerjasama dan kelulusan terhadap projek-projek yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) beranggapan tuduhan yang dilemparkan adalah tidak berasas serta berniat jahat untuk memburukkan kerajaan negeri.

Najib semasa lawatan ke Hulu Selangor baru-baru ini telah membohongi rakyat di Felda Gedangsa apabila menyatakan kegagalan Barisan Nasional menunaikan janji semasa pilihanraya kecil Hulu Selangor lalu untuk membina rumah peneroka Felda generasi kedua adalah disebabkan tidak mendapat kerjasama pihak kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan balas dengan menyatakan tiada sebarang permohonan yang telah dibuat sama ada oleh pihak kerajaan pusat ataupun Felda untuk sebarang projek perumahan di kawasan Felda terbabit sehingga kini.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melihat pembohongan demi pembohongan yang sengaja dicipta adalah antara ‘grand design’ kotor Umno untuk merampas kembali negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat,” kata Hasbullah kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Umno berasa cukup gusar kerana rakyat Selangor telah melihat kebaikan dan ketelusan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang cukup prihatin terhadap rakyat.

Beliau berkata, agenda ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ Pakatan Rakyat juga telah menunjukkan hasil yang baik dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Selangor tanpa mengira bangsa, agama dan pegangan politik mereka.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menasihatkan supaya Najib dan Umno Selangor supaya menghentikan segala pembohongan dan fitnah terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana ianya akan menjadi cacian dan makian rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional semula akhirnya,” katanya.

Tiada ulasan: