Rabu, 4 Januari 2012

Panel Suhakam lawat Tung Shin tapi belum puas hati

Panel siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini masih belum mendapat gambaran tepat berhubung tindakan polis menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0, 9 Julai lalu selepas melawat lokasi kontroversi Hospital Tung Shin, Kuala Lumpur

Lawatan yang diketuai timbalan pengerusi Suhakam, Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee hari ini antara lainnya untuk menyiasat dakwaan bahawa polis telah menembak gas pemedih mata dan juga meriam air ke arah peserta yang berlindung di hospital berkenaan.

NONEAntara tumpuan siasatan lapangan hari ini ialah dua kawasan lereng bukit di sekitar hospital berkenaan yang didakwa telah menjadi sasaran tembakan gas polis.

Panel siasatan berkenaan, termasuk dua wakil polis Bukit Aman pada mulanya meneliti kawasan lereng di kawasan tenggara kompleks berkenaan yang menempatkan bangunan baru Hospital Bersalin Cina.

Khaw ketika memeriksa kawasan itu berkata, bukit curam dengan tembok setinggi lebih enam kaki itu "tidak mungkin" menjadi sasaran kerana sukar untuk dinaiki oleh peserta demonstrasi.

Khaw bagaimanapun kelihatan lebih berpuas hati ketika melihat satu lagi kawasan lereng di bahagian barat daya kompleks hospital tersebut – yang menempatkan satu kawasan parkir.

Keadaan kawasan itu juga konsisten dengan kenyataan yang diberikan pengarah komunikasi korporat Kementerian Kesihatan, Zailani Hashim, kata Khaw lagi.

NONEZailani memberitahu ahli panel, tembakan kanister gas pemedih mata anggota polis dari bahagian bawah bukit berkenaan jatuh di kawasan lereng berkenaan yang terletak di luar kawasan hospital.

Hanya asap gas berkenaan yang dibawa angin dan masuk ke kawasan hospital tersebut, katanya lagi kepada anggota panel berkenaan pagi ini.

Selain lereng bukit berkenaan, panel siasatan berkenaan turut melawat sekitar lorong kecil di bahagian bawah bukit berkenaan di Jalan Pudu Lama – yang didakwa sebagai lokasi polis berkenaan melepaskan tembakan tersebut.

Khaw dalam perbincangannya dengan dua lagi anggota panel – Detta Samen dan Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid turut memutuskan bahawa mereka perlu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tindakan polis berkenaan daripada seorang lagi saksi dalam inkuiri petang ini.

Saksi berkenaan, ASP Ahmad Halimi Hamidi merupakan ketua operasi polis dalam menangani perhimpunan di sekitar kawasan Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu ketika perhimpunan berkenaan itu.

Tiada ulasan: