Rabu, 11 Januari 2012

Nakhaie: ‘Adakah Hasan akan dapat keadilan jika buat rayuan’



Hasan mempunyai tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama. — Gambar fail


KUALA LUMPUR — Bekas naib presiden PAS Datuk Nakhaie Ahmad menyifatkan “perkara sama” pasti akan berulang sekiranya Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat keahlian oleh PAS tanpa mengikut prosedur perlembagaan parti, mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama.

Nakhaie menegaskan prosedur pemecatan Hasan tidak wajar kerana bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu tidak diberi peluang membela diri di peringkat jawatankuasa disiplin parti itu.

“Proses pemecatan Hasan Ali tidak wajar kerana beliau tidak diberi peluang mempertahankan diri dan adalah jelas pandangan Hasan Ali mewakili pandangan lama era kepimpinan ulama yang dianggap oleh pemimpin baru PAS sebagai sesuatu yang sudah lapuk,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini hanya “pertemuan biasan” dan bukannya pertemuan dengan jawatankuasa disiplin parti.

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) ini menegaskan PAS telah menggunakan kuasa secara tidak adil terhadap exco kerajaan negeri Selangor itu kerana tidak melaksanakan prosedur yang sepatutnya.

“Ia pertemuan biasa (antara Hasan, Abdul Hadi dan Nik Aziz), bukan jawatankuasa disiplin dan tidak ada surat tunjuk sebab pun... mungkin jawatankuasa agung ada kuasa tapi kuasa itu digunakan secara tidak adil kerana prosedur keadilan tidak dilaksanakan.

“Kalau sekiranya peringkat pertama tak sempurna apa ertinya peringkat kedua (rayuan)...di peringkat pertama orang yang dituduh dipanggil untuk membela diri dengan memberikan sebab mengapa parti tidak boleh mengambil tindakan terhadapnya dan kalau kita lihat proses ini tidak berjalan,” kata Nakhaie.

Hujung minggu lalu Hasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia telah dipecat keanggotaan berkuatkuasa serta-merta kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan dasar parti.

Tindakan memecat Hasan dibuat berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian sebagai ahli PAS.

Hasan sebelum ini seringkali mengeluarkan kenyataan yang “menongkah arus”.

Keputusan memecat Hasan dibuat sebulat suara dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat.

Bagaimanapun Hasan tidak menghadiri mesyuarat itu.

Hasan mempunyai tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

Nakhaie berkata terpulang kepada Hasan sama ada mahu membuat rayuan atau tidak kepada Majlis Syura Ulama.

“Tapi adakah di peringkat kedua ini, rayuan pihak tertuduh akan dipertimbangkan secara adil? Itu terpulang kepada Hasan Ali.

“Kalau sekiranya Hasan Ali yakin bahawa keadilan boleh ditegakkan menerusi proses rayuan mungkin beliau akan buat rayuan tapi kalau beliau fikir rayuan tidak akan dipertimbangkan secara adil maka saya tidak fikir Hasan Ali akan buat rayuan,” katanya.

Tiada ulasan: