Ahad, 8 Januari 2012

Mat Jenin pun pengembala lembu juga

Rakyat wajar merasa lega dan harus bersyukur kerana mujurlah orang seperti Mat Jenin dalam kisah ini tidak wujud di kalangan pemimpin negara kita hari ini.



Saya yakin, ramai di antara kita tidak pernah mengetahui di sebalikcerita rakyat, ‘Angan-angan Mat Jenin’ yang digambarkan seseorang yang kuat berangan hingga terjatuh dari pokok kelapa sebenarnya adalah individu yang kaya raya dan mempunyai isteri yang amat berpengaruh.

Dalam kisah sebenar kehidupan Mat Jenin juga, beliau bukanlah seorang pemetik buah kelapa seperti yang selalu digambarkan sebelum ini, tetapi beliau adalah seorang pengembala lembu yang terkenal.

Lembu-lembu yang digembalakan itu pula, bukanlah seekor dua, malah pernah disebut orang, Mat Jenin sendiri pernah beberapa kali tersesat di celah-celah lembunya ketika mencari pintu keluar dari kandang lembunya itu.

Disebut orang lagi, disebabkan lembunya terlalu banyak, Mat Jenin telah membeli dua bidang tanah yang luas di sebuah kawasan penempatan golongan elit atau dipanggil bangsawan ketika zaman itu untuk menempatkan lembu-lembunya.

Pernah juga diceritakan bahawa tanah yang dibeli oleh Mat Jenin itu dipercayai terletak di sebuah kawasan pusat pentadbiran sebuah kerajaan hari ini.

Golongan elit sama dengan lembu?

Bagaimanapun, setelah tanah itu dibeli, rancangan Mat Jenin terpaksa dibatalkan setelah mendapat bantahan golongan elit yang mendiami kawasan itu kerana Mat Jenin dituduh cuba menyamakan taraf golongan elit kawasan itu dengan lembu-lembu peliharaannya.

Apatah lagi, golongan-golongan bangsawan yang mendiami kawasan mewah itu tentulah tidak sanggup tinggal berjiran dengan lembu- lembu Mat Jenin itu.

Selain itu juga, Mat Jenin yang selalu digambarkan mendiami sebuah rumah kampung dan selalu berpakaian compang-camping juga tidaklah benar sama sekali.

Malah, Mat Jenin sebagai seorang yang berharta dan beristerikan seorang yang berpengaruh dalam masyarakat di negeri yang tidak pernah disebutkan namanya dalam mana-mana hikayat itu memiliki beberapa kediaman mewah dan tinggi-tinggi belaka di dalam dan luar negara.

Selain beberapa kediaman mewah di luar negara, keluarga Mat Jenin juga memiliki restoran mewah di negara yang tidaklah diketahui namanya.

Mat Jenin juga bukanlah seperti katak di bawah tempurung yang tidak pernah melihat dunia luar, tetapi diceritakan oleh pedagang luar, Mat Jenin pernah ditemui sedang bersiar-siar di Indonesia dan Thailand.

Selain mengembala lembu-lembunya yang banyak itu, Mat Jenin dan anak-anaknya juga dikatakan amat gemar beriadah.

Maka tidak hairanlah Mat Jenin dan anak-anaknya sanggup membelanjakan begitu banyak wang hanya semata-mata untuk tujuan beriadah.

Bagi menggambarkan keadaan Mat Jenin pada zaman itu, ianya bolehlah disamakan dengan orang-orang kaya zaman kini yang tidak kisah untuk membelanjakan sehingga RM13,000 untuk bermain golf.

Jika golongan hartawan zaman kini gemar memandu kenderaan mewah lagi berprestij seperti Mercedes Benz CLS 350 CGI yang berharga RM534,622 misalnya, begitu juga dengan Mat Jenin yang turut memiliki beberapa kenderaan mewah lagi bergaya di zamannya.

Mat Jenin tidak pandai berniaga

Cuma kalaulah ada sedikit persamaan antara kisah Mat Jenin si pemetik kelapa dengan Mat Jenin gembala lembu ialah kedua-dua mereka bukanlah seorang yang bijak berniaga.

Sepertimana pandangan tipikal terhadap sesetengah kontraktor kerajaan zaman sekarang yang gemar menggunakan pendahuluan peruntukan projek dengan membeli kereta mewah dan sebagainya, Mat Jenin juga tidak terlepas dari sikap seperti itu.

Meskipun pada awalnya Mat Jenin pengembala lembu mempunyai lembu yang banyak, perniagaannya merosot teruk kerana beliau telah menghabiskan banyak modal yang diperuntukkan bagi membeli makanan lembunya dengan berjoli demi memenuhi citarasa mewahnya.

Setelah wang pendahuluan peruntukan untuk projek lembunya susut dibelanjakan untuk membeli rumah mewah, kenderaan besar, beriadah dan lain-lain, akhirnya projek lembunya juga entah ke mana.

Bagaimanapun disebabkan beliau memiliki kekayaan yang melimpah ruah dan ditambah pula mempunyai isteri yang berpengaruh, maka kegagalan ternakan lembunya itu tidaklah memberi kesan mendalam yang boleh menjejaskan kekayaan dan kedudukannya.

Sebaliknya beliau dan isterinya tetap dikagumi dan dibela oleh sesetengah pihak dalam masyarakat di tempat tinggal Mat Jenin.

Selain itu, kedudukan isteri Mat Jenin sebagai seorang yang berpengaruh di kalangan mereka juga masih kekal seperti sebelumnya tanpa ada yang berani menggugatnya.

Demikianlah serba sedikit kisah sebenar kehidupan Mat Jenin yang pernah disampaikan kepada saya tidak berapa lama dahulu.

Pengajaran dari kisah sebenar Mat Jenin itu, rakyat wajar untuk merasa lega dan harus bersyukur kerana mujurlah orang seperti Mat Jenin dalam kisah ini tidak wujud di kalangan pemimpin negara kita hari ini.

* Penulis merupakan seorang penulis/wartawan bebas. Selain di FMT, artikel lain beliau boleh dicapai di bedukcanang.blogspot.com

Tiada ulasan: