Isnin, 16 Januari 2012

Majlis Fatwa haramkan 'bank susu ibu'


MALAYSIA KINI
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan bahawa cadangan penubuhan bank susu ibu adalah haram.

Ini kerana tindakan itu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram.

Menurut laporan akhbar Berita Harian hari ini, keputusan yang diambil pada persidangan muzakarah kali ke-97 pada hujung tahun lalu, melihat kepada keperluan penubuhannya yang tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam keselamatan umat.

“Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan, termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlu dielakkan.

“Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat ditetapkan,” kata kenyataan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang disiarkan menerusi portal e-fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dan dipetik akhbar berkenaan.

Walau bagaimanapun, jawatankuasa itu mengakui bahawa tabung susu itu diperlukan bagi bayi pra-matang yang memerlukan rawatan dan juga bayi yang ibunya kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi.

Bagaimanapun muzakarah memutuskan adalah harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu saling mengenali.

Sementara itu, muzakarah berkenaan juga memutuskan amalan eutanasia atau mercy killing, iaitu menghentikan hayat hidup seseorang sebelum disahkan meninggal adalah haram dan dilarang Islam.

Bagaimanapun menurut laporan dalam Berita Harian itu kecualian diberikan dalam keadaan di mana pakar perubatan mengesahkan jantung dan/atau otak pesakit berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan.

Muzakarah juga memutuskan tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan adalah dibenarkan.

Tiada ulasan: