Isnin, 9 Januari 2012

Chin Huat: Apakah kerajaan Najib akan buat rayuan dalam kes Anwar?

Lim Hong Siang


"Keputusan bahawa Anwar tidak bersalah adalah kemenangan suara rakyat. Najib sedar bahawa seandainya Anwar diputuskan bersalah, maka beliau terpaksa berdepan dengan gelombang Reformasi kedua.

Kerajaan mengeluarkan kenyataan, memuji Najib kerana 'berani untuk melakukan reformasi demokrasi', bukankah itu pengakuan bahawa kes liwat ini adalah satu penindasan politik? Meskipun kerajaan boleh mendakwa dirinya tidak memanipulasikan sistem kehakiman, namun pendakwaan Anwar menonjolkan satu realiti yang lebih penting, iaitu kerajaan mempunyai kawalan sepenuhnya dalam jentera pendakwaan.

Cabaran pertama yang terpampang di depan mata Najib adalah, adakah rayuan akan dibuat jikalau didesak mereka yang berpendirian keras dalam isu ini? Jikalau begitu, maka beliau akan disamakan semula dengan Abdullah Ahmad Badawi (mantan Perdana Menteri) kerana flip-flopnya, malah jauh lebih teruk daripada Pak Lah, kerana sekurang-kurangnya Pak Lah tidak jahat.

Jikalau Najib mahu menjadi pembawa perubahan, maka beliau perlu melaksanakan reformasi secara total untuk mendemokrasikan Malaysia. Dalam hal ini, beliau dituntut memansuhkan akta zalim, melaksanakan reformasi sistem pilihan raya yang lebih besar, termasuk pendaftaran pengundi secara automatik, membenarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk mengundi dari jarak jauh, malah menghalang sayap kanan untuk terus mempermainkan isu perkauman.

Seandainya kesemua ini disempurnakan, maka UMNO tidak akan lagi kebal dari kekalahan. Namun, hanya dengan cara sedemikian, pengundi yang bijaksana akan mempertimbangkan sama ada untuk melanjutkan talian hayat regim ini atau tidak. Dengan kata lain, Barisan Nasional perlu lebih ke depan berbanding Pakatan Rakyat dalam membawa perubahan. Najib sekadar harimau yang makan sayur untuk sementara seandainya gagal melaksanakan tuntutan di atas
." -- Wong Chin Huat (gambar kanan), pengkaji politik

Zunar: Ia mungkin tidak berakhir di situ saja

"Keputusan ini memberi satu tamparan hebat kepada Najib, UMNO-Barisan Nasional, dalam masa sama memberi satu lonjakan moral kepada Anwar, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia. Keputusan ini memberi harapan kepada rakyat, bahawa pembentukan Malaysia Baru, iaitu sebuah negara yang adil menjadi mungkin. Selain itu, keputusan ini juga menunjukkan 'tanda-tanda' sistem kehakiman menuju ke arah pemulihan.

Najib gagal mengawal sistem kehakiman dalam kes ini. Namun, situasi ini lebih membimbangkan saya, kerana kes liwat 2 jelas sebagai konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim. Setelah gagal dengan kes ini, maka mereka akan cuba dengan kes yang lain, untuk mencapai matlamat agar Anwar dipenjarakan.

Oleh yang demikian, saya risau ia tidak berakhir di situ, sebaliknya video lucah yang sebelum ini dipalitkan ke atas Anwar Ibrahim, mungkin digunakan untuk mengheret Anwar ke mahkamah lagi
." -- Zunar (gambar kiri), kartunis politik

Aziz Bari: BN tetap bersalah

"Dari awal lagi rakyat - baik yang tahu undang-undang atau rakyat biasa - dapat melihat yang kes Anwar ini luar biasa dan tidak mengikut undang-undang; malah sejak awal lagi apabila Anwar disiasat oleh polis jadi keputusan ini tidak dapat lari dari dilihat sebagai kes politik dan bukan kes jenayah biasa. Saya melihat ini satu cubaan untuk mengurangkan kes buruk ke atas Barisan Nasional sebab kalau Anwar dihukum BN akan lebih parah. Tetapi pembebasan Anwar ini juga akan menyulitkan BN kerana ia akan menyebabkan BN dilihat memanipulasi mahkamah dan menyebabkan rakyat marah; mengapa kes ini diteruskan sedangkan dari mula lagi hujah yang mempertikai kes ini telah disuarakan.

Keputusan ini mengesahkan apa yang Anwar katakan selama ini; BN tetap bersalah meskipun ia akan mengatakan keputusan mahkamah ini menunjukkan mahkamah bebas.

Dan kita jangan lupa yang selama ini UMNO menggunakan kes ini untuk mengejek dan mempertikai Anwar. Keputusan ini kemenangan buat Anwar dan BN masih berada di dalam parit; ia tidak melepaskan BN yang sedia terbelit dalam pelbagai masalah dan rasuah. Keputusan ini juga belum tentu menunjukkan yang badan kehakiman bebas sebab kalau ia bebas ia tidak perlu memanggil Anwar membela diri.

Dari satu sudut ia membuat kita tertanya-tanya; apakah keputusan itu akibat sikap rakyat yang menunjukkan kebencian dan penentangan terhadap apa yang berlaku ke atas Anwar? Ini menebalkan tanggapan bahawa mahkamah boleh ditekan dan dipengaruhi; ia tidak bebas. Dan kita jangan lupa bahawa kebebasan kehakiman ialah satu persepsi; kalau rakyat sangsi dan tidak yakin mahkamah tidak boleh berbuat apa-apa.
"-- Abdul Aziz Bari (gambar kanan), bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Liew Chin Tong: Kes Liwat 2 tidak harus bermula

"Kes Liwat 2 ini seharusnya tidak bermula. Ia berlaku pada Jun 2008, dengan latar belakangnya di mana harga minyak naik, dan desas-desus komponen parti dalam Barisan Nasional mungkin lompat parti, pada ketika itu. Dalam senario terkini, kes liwat II tidak memberi lagi apa-apa manfaat kepada Najib.

Lantaran daripada keputusan ini, pilihan raya umum mungkin akan diadakan dalam masa yang singkat. Sukar untuk diramalkan kesannya terhadap perkembangan politik dalam masa akan datang, tetapi ia mungkin satu permulaan yang baik untuk politik negara kita.
" -- Liew Chin Tong (gambar kiri) ahli parlimen Bukit Bendera merangkap Setiausaha Biro Antarabangsa DAP

Por Heong Hong: Masa dan tenaga musuh politik dibazir begitu sahaja

"Sedikit pun tidak saya terasa gembira dengan berita sebegini. Sebaliknya, ia mencerminkan jalan reformasi yang lebih jauh dan perit. Mengapa? Ini kerana seluruh sistem kehakiman 'gagal memastikan bukti DNA tidak tercemar'. Apakah ini menunjukkan kecuaian pengamal kehakiman, atau terdapat cubaan pihak lain untuk mengubah bahan bukti?

Seandainya sistem kehakiman sesebuah negara boleh membiarkan bahan buktinya diubah oleh pemerintah, digunakan untuk meletihkan musuh politiknya - dengan masa dan tenaga yang terbazir sepanjang tiga tahun; kemudian perbicaraan diakhiri dengan ayat 'gagal memastikan bukti DNA tidak tercemar', mengumumkan bahawa musuh politiknya dibebaskan. Sistem kehakiman sedemikian cukup untuk menuntut agar kita tidak lalai dalam perjuangan reformasi
." -- Por Heong Hong (gambar kanan), pemerhati politik.

Tiada ulasan: