Ahad, 22 Januari 2012

Apabila kerajaan pusat membuat keputusan di peringkat kampung…

Oleh Mazir Ibrahim


Kejayaan sesuatu idea, dasar dan matlamat bergantung kepada cara ia dilaksanakan. Dalam konteks demokrasi akar umbi – di mana Malaysia tidak mengamalkan pilihan raya tempatan – cara pelaksanaanya sekarang boleh menjadi bukti sama ada kerajaan pusat mampu membantu rakyat tanpa pembabitan penduduk tempatan,

Sebagai contoh, dalam usaha mengekalkan Kampung Puah sebagai kampung tradisi di tengah-tengah ibu kota, media-media cetak hari ini melaporkan Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk berunding dengan syarikat pemaju iaitu Aamin Development Sdn Bhd supaya pelan pembangunan dilakukan dengan “mengambil kira isi hati penduduk di situ.”

Berdasarkan kenyataan di atas, lojik akal kita ialah jika mahu “mengambil kita isi hati penduduk”, seharusnya pihak menteri berunding dengan penduduk, bukan dengan syarikat swasta.

Kerajaan dan masyarakat adalah rakan kongsi. Tetapi dalam kes ini, kelihatan jelas sekali bahawa rakan kongsi kerajaan kerajaan adalah syarikat swasta, bukan rakyat.

Politik dan perniagaan

Syarikat Aamin Development ini milik siapa? Adakah penduduk tempatan di situ tahu siapa pemiliknya? Bila dan bagaimanakah syarikat ini masuk tender? Berapa kos yang kerajaan negeri/wilayah (baca: rakyat) harus tanggung dengan cukai rakyat itu?

Malah laporan sebuah akhbar hari ini menyatakan Perdana Menteri memberi jaminan: “Tak usah panjang cerita, saya minta Datuk Raja Nong Chik dan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Tan Sri Ahmad Fuad Ismail) bersama UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta) berunding dengan syarikat pemaju berkenaan supaya tolong bertimbang rasa sediakan sebahagian daripada tanah untuk kampung tradisi”.

Dalam konsep perniagaan, apa rasionalnya syarikat swasta dan kerajaan bersengkongkol untuk membahagi-bahagikan tanah kononnya atas nama keperluan untuk rakyat?

Najib juga dilaporkan berkata, “Kalau ada 30 ekar, berilah 10 atau 15 ekar untuk membina satu perkampungan budaya Melayu di sini. Saya faham isi hati penduduk di sini yang ingin merasa kehidupan di dalam perkampungan tradisi di tengah-tengah bandar dan saya pun faham ini boleh menjadi daya tarikan kepada pelancong.

Adakah syarikat akan memberi percuma tanah? Jika bukan percuma, apa harga yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada syarikat swasta?

Adakah benar masyarakat tempatan kampong Puah mahukan kampung tradisi untuk tujuan pelancongan?

Bukankah di mana-mana kampung, yang menjadi keutamaan ialah mengekalkan keadaan semula jadi demi ketenangan dan ketenteraman hidup tanpa kebingitan pembangunan yang bersimpang-siur tanpa perancangan yang baik dan tersusun.

Ini isu keperluan asasi, tidak timbul isu sama ada masyarakat mahu kampung tradisi untuk pelancongan atau perkelahan. Jika ada keinginan itu sekali pun, masyarakat tetap mahukan satu pembangunan yang mereka sukai, iaitu dengan mewujudkan sistem perancangan yang teliti, mesra alam dan dengan kos yang munasabah. Ini kehendak asas mereka.

Sistem melahirkan korupsi

Ini menjadi gambaran apabila rakyat dan penduduk tempatan tidak mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan pembangunan di tempat mereka sendiri. Sebaliknya, kuasa eksekutif pusat yang bersengkongkol dengan syarikat swasta yang menentukan setiap dasarnya. Amalan ini sudah berterusan puluhan tahun.

Dengan sistem inia, kita tidak dapat membayangkan berapa ratus juta wang cukai kita digunakan sewenang-wenangnya mengikut kepentingan pihak penguasa.

Sistem yang sedang kita amalkan ini hanyalah sistem sehala, dari atas turun ke bawah. Barangkali dalam suasana mundur dan penuh kekacauan, sistem ini dilihat perlu dan berkesan demi memacu kebangkitan dan meredakan kekacauan.

Tetapi dalam suasana yang sudah subur seperti hari ini, sistem seperti itu barangkali sudah ketinggalan zaman, apatah lagi ia penuh dengan kecacatan dan mudah berlakunya kegiatan korupsi di pelbagai peringkat.

Alternatif kepada sistem ini adalah konsep disentralisasi di antara kerajaan pusat dan kerajaan tempatan.

Kelestarian pembangunan

Ekonomi sesuatu kawasan itu mampu berkembang apabila pelaburan ekonomi bersih tanpa rasuah atau korupsi, selain kemudahan infrastruktur asas seperti sistem perhubungan yang cekap. Inilah asasnya.

Aktiviti ekonomi wujud apabila ada pelaburan, dan pelaburan akan datang mencurah apabila indeks persepsi rasuah atau korupsi rendah. Untuk mencapai dua keperluan ini, harus wujud ketelusan, dan ketelusan ini hanya mampu dilaksana jika rakyat diberi kuasa untuk memilih dan memantau pentadbir sesuatu kawasan atau daerah.

Kita tidak katakan sistem disentralisasi ini sempurna seratus peratus, tetapi ia adalah kaedah yang jauh lebih baik untuk mencegah korupsi dan menjadikan manusia lebih bertanggungjawab dan amanah. Hubungan antara masyarakat dan kerajaan mestilah ada hubungan dua hala.

Dalam kes seperti yang dilaporkan di atas, jika kerajaan tempatan itu dipilih oleh masyarakat setempat, pasti Perdana Menteri yang melawat ke Kampung Puah itu hanya sebagai pendengar keluhan dan rintihan rakyat.

Sebaliknya, dalam sistem yang diamalkan hari ini, rakyat yang terpaksa mendengar Najib berucap dan berjanji itu dan ini. Rakyat, walau pun muak dengan gua-gula politik, tidak ada apa-apa pilihan kerana tidak diperkasakan di peringkat akar umbi.

Salah satu alternatif untuk rakyat adalah pilihan raya majlis tempatan. Sekurang-kurangnya rakyat tempatan mempunyai kuasa untuk memilih sendiri mana-mana pemimpin yang mampu membangunkan kawasan akar umbi atau menolak mereka yang gagal menunaikan tanggungjawab dan janji. – Roketkini.com

Tiada ulasan: