Ahad, 16 Oktober 2011

Program CERIA Meringankan Beban Penduduk Pangsapuri

Oleh Naeem Raffi


SHAH ALAM : Selama tujuh tahun penduduk Pangsapuri Mentari, Seksyen U5, di sini terpaksa bersabar dengan pelbagai masalah seperti lif rosak, saluran air dan paip najis.

Kini, masalah mereka diselesaikan menerusi Program Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) yang antaranya menawarkan peruntukan bagi membaikpulih kawasan kediaman mereka.

Menerusi program CERIA yang dilancarkan disini hari ini, sebanyak RM42 ribu dibelanjakan membaikpulih dua lif di pangsapuri tersebut.

"Penduduk Pangsapuri rasa bertuah dengan pentadbiran kerajaan negeri sekarang yang berkebajikan dan prihatin, tambah pula kami dari pangsapuri kos rendah kalau mahu membaik pulih sendiri tanpa bantuan kerajaan negeri, ntah sampai bila lif yang rosak itu boleh dibaiki, dengan bantuan kerajaan menerusi projek CERIA ini bukan sahaja membantu malah mempercepatkan proses," kata seorang penghuniLatifah Mat Nanyan.

Manakala Suhaimi Umar pula berpendapat apa yang berlaku hari ini adalah sebagai permulaan kepada suatu kehidupan yang baru kepada mereka.

Beliau juga berharap semua kerja-kerja penambahbaikan itu dilaksanakan secara menyeluruh.

"Bagi saya Projek CERIA ini suatu yang bagus, exco turun padang lihat kesusahan rakyat, prihatin dengan apa yang berlaku kepada kami, ini adalah permulaan dan kami akan menunggu pelaksaannya."

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Iskandar Abdul Samad berkata pelaksanaan Projek CERIA bukan sahaja mahu melahirkan komuniti yang harmoni dan kondusif, malah ia berhasrat untuk memperkasa komuniti di negeri ini.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Skim Ceria di Pangsapuri Mentari, Seksyen U5, di sini hari ini

Hadir sama, Adun Kota Damansara, Nasir Hashim, Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Noraida Mohd Yusuf, Penolong Pengarah Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS) dan Mohd Hafiz Hassan.

Mengulas lanjut, Iskandar yang juga ADUN Chempaka menjelaskan keseluruhan kos untuk Fasa Pertama ini menelan belanja sejumlah RM 2.3juta manakala bagi Fasa Kedua, 48 kawasan pembangunan pangsapuri Kos Rendah telah disenaraikan untuk dibaikpulih dengan peruntukan sebanyak RM 9.7juta.

"Kita bukannya beri ikan, sebaliknya kita beri joran, jadi kita jangan melihat program ini hanya semata-mata untuk membaik pulih lif, saluran najis dan sebagainya, tetapi sedarlah matlamat yang paling penting ialah memperkasakan rakyat agar mampu hidup bekerjasama."

Pelaksanaan Fasa Pertama dengan nibah perkongsian 80 peratus ditanggung Kerajaan Negeri dan 20 peratus penduduk bagaimanapun berjaya menyenaraikan 18 pangsapuri.

Daripada jumlah itu, 11 daripadanya sedang dilaksanakan.

Sementara dua pangsapuri iaitu Pangsapuri Tembikai dan Pulasan dan Pangsapuri Mentari bagaimanapun telah siap dibaikpulih.

Manakala, lima pembangunan lagi akan dimulakan dalam masa terdekat setelah mendapat persetujuan penduduk.

Dalam perkembangan yang sama, LPHS selaku urusetia dan PKNS sebagai pengurus projek akan menetapkan kos baik pulih bagi setiap pangsapuri sebelum 4 november hadapan.

Tiada ulasan: