Khamis, 13 Oktober 2011

PPSMI: Beri kami peluang suarakan pendirian, kata NGO


KUALA LUMPUR — Pertubuhan bukan kerajaan Page meneruskan gesaan mereka dengan meminta kerajaan agar memberi peluang kepada ibu bapa suara dalam dasar kontroversi — pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Justeru ia juga mahu kerajaan mempertimbangkan peluang kepada ibu bapa dalam menentukan pendidikan anak mereka.

“Kami hanya menyuarakan pandangan dan aspirasi ibu bapa,” kata Pengerusi Page Datin Azimah Rahim pada sidang media bersama di sini hari ini.

“Kami ada menemu bual ibu bapa dari pelbagai negeri dan ramai yang sokong berkenaan (pendirian kami dalam isu)PPSMI. Kami berharap Kementerian Pelajaran akan mempertimbangkan rayuan kami,” katanya.

Azimah berkata Akta Pelajaran 1996 memperuntukkan bahawa ibu bapa ada hak dalam menentukan pendidikan anak masing-masing.

“Jika kerajaan tidak merasakan perkara ini (satu keperluan), maka buang sahaja akta ini,” kata beliau.

Menurut beliau, setakat ini Page telah menghantar tujuh memorandum kepada kerajaan.

Jelas beliau, tiga dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran manakala selebihnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi tiada respons daripada kedua-dua pihak berkaitan.

“Kami sudah menghantar tujuh memorandum kepada mereka yang bekenaan, tetapi sehingga sekarang masih lagi belum mendapat maklum balas dari mereka,” jelasnya.

“Antara langkah terakhir yang kami akan laksanakan adalah cuba untuk berunding sendiri dengan Perdana Menteri, kita akan cuba,” katanya lagi.

Azimah turut menjelaskan tentangan hebat kumpulan sasterawan terhadap pelaksanaan PPSMI merupakan satu salah faham.

“Ini hanya salah faham... bukan nak tukar bahasa kebangsaan, tapi untuk memberi peluang anak-anak kita belajar menggunakan lingua franca bidang sains dan matematik pada masa kini yang dilihat lebih relevan,”tegasnya.

“Mahkamah juga sudah menjelaskan PPSMI tidak melanggar Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya lagi.

Azimah juga menuntut ibu bapa memainkan peranan bermula sesi persekolahan tahun depan berikutan pelajar tingkatan satu yang mendaftar pada tahun depan tidak diberi pilihan untuk mengikuti dasar PPSMI, tetapi pelajar tingkatan empat akan diberikan pilihan.

Namun ia hanya akan terlaksana sekiranya terdapat permohonan daripada ibu bapa kepada pengetua sekolah.

“Ibu bapa harus membuat permohonan kepada pengetua sekiranya mahukan PPSMI, tak perlu hanya tunggu kami bergerak, ini hak mereka, mohon dengan pengetua sekolah,” tegasnya.

PPSMI yang dimulakan pada 2003 kini sudah dimansuhkan dan kerajaan akan menggunakan dasar baru mulai tahun depan.

Tiada ulasan: