Sabtu, 22 Oktober 2011

Polemik liwat: Peguam PAS cabar MP Zul kritik ‘hukum hudud Umno’

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR — Peguam PAS Mohamed Hanipa Maidin mencabar jika Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar-Baru Zulkifli Noordin, yang menimbulkan aspek berkaitan dengan peruntukan liwat dalam hukum hudud yang digubal kerajaan negeri Terengganu pada 2002, jika jujur sepatutnya mengkritik “hudud Umno” di Wilayah Persekutuan.

Menurut Hanipa, dalam undang-undang yang digubal kerajaan pusat — yang dilabelnya sebagai “undang-undang Umno” — di Wilayah Persekutuan, liwat hanya “salah jika lelaki meliwat lelaki yang lain.”

“Berdasarkan tafsiran liwat di Seksyen 2 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan adalah jelas bahawa seorang yang sama ada meliwat seorang perempuan yang lain atau meliwat isterinya tidak dikira melakukan apa-apa kesalahan di Wilayah Persekutuan jauh sekali akan dihukum.

“Renungan kepada Zulkifli Nordin - undang-undang mana yang lebih melindungi wanita?” kata beliau dalam entri blognya.

Semalam, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib berkata dakwaan Zulkifli berhubung suami meliwat isteri melambangkan kejahilannya dalam hukum yang berkaitan syarak.

Harun berkata, hukum syarak tidak boleh dibaca sepintas lalu tetapi memerlukan disiplin ilmu yang tinggi.

Menurut Harun, liwat di antara suami isteri tidak termasuk dalam hukum hudud tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak salah.

Jelas beliau, perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman ia akan dikenakan hukum takzir.

Hanipa menulis ekoran isu yang dibangkitkan oleh Zulkifli di Dewan Rakyat kelmarin, antara lain menurutnya, wakil rakyat itu menuduh hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat isteri.

Katanya, tuduhan tersebut dibuat dengan kononnya dirujuk kepada draf dan Enakmen Hudud dan Qisas Terenggganu 2002 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ketika PAS memerintah negeri itu.

Kerajaan negeri Kelantan pula menggubal enakmen yang sama pada 1993.

Polemik baru ini muncul ketika timbul semula kontroversi pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus melahirkan hasrat mahu melaksanakan undang-undang itu di Kelantan.

“Menurut beliau (Zulkifli) berdasarkan Seksyen 14 enakmen tersebut yang menerangkan tentang liwat yang dimaksudkan dengan seseorang lelaki memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan, kecuali isteri. Katanya, perkataan kecuali dengan isteri itu jelas membawa maksud seseorang suami boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana ia tidak dimaksudkan meliwat,” tulis Hanipa.

Beliau seterusnya berkata adalah sesuatu yang malang bagi profesion guaman negara ini mempunyai seorang peguam yang nampaknya tidak memahami perkara asas dalam penafsiran undang-undang.

Kata Hanipa, daripada kenyataan Zulkifli nampaknya beliau terlibat dengan politik murahan yang hanya sekadar untuk menimbulkan keraguan terhadap perkara yang jelas dan tiada keraguan.

Katanya, hujah beliau yang mengatakan bahawa Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu bercanggah dengan Islam kerana tidak menganggap perbuatan meliwat isteri sebagai satu kesalahan boleh dengan mudah dipatahkan dengan beberapa alasan.

Kata Hanipa, Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu secara jelas memperuntukkan “liwat ialah satu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur.

“Jika dilihat kepada Seksyen 14 tersebut terdapat dua kesalahan yang boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan liwat iaitu hubungan seks melalui dubur antara lelaki dan lelaki dan hubungan seks melalui dubur antara lelaki dan wanita selain daripada isteri lelaki tersebut.

“Seksyen 15 enakmen yang sama memperuntukkan ‘sesiapa melakukan kesalahan liwat hendaklah dihukum dengan hukuman yang sama seperti yang ditetapkan bagi zina,” katanya lagi.

Menurut Hanipa, hukuman zina adalah 100 rotan bagi pesalah zina yang ghayru muhsan dan rejam sehingga mati bagi yang muhsan.

“Zulkifli menyatakan bahawa berdasarkan Seksyen 14 enakmen tersebut seorang yang meliwat isteri tidak melakukan kesalahan. Beliau berhujah bersandarkan frasa ‘selain daripada isterinya’ suami yang meliwat isteri terlepas dari hukuman hadd,” kata beliau sambil menambah, hujah itu memperlihatkan bahawa beliau tidak memahami perbezaan asas antara hudud dan takzir.

“Seksyen 14 bercakap tentang hudud. Seorang suami yang meliwat isterinya bukan tidak bersalah. Ia tetap salah. Cumanya kesalahan itu tidak boleh dikenakan hukuman hudud. Mungkin Zulkilfli bertanya kenapa tidak boleh kena hukum hudud?” katanya lagi.

“Jawapannya sepertimana yang dikatakan oleh Abdul Kadir Audah dalam bukunya yang terkenal ‘Tasyri’ Janaie’ terdapat keraguan sama ada isteri yang dinikahi secara sah oleh lelaki boleh dikenakan hukuman hadd hanya kerana ia ‘mengguna pakai hartanya’ mengikut kehendaknya. Dan, prinsip yang terpakai dalam hukum hudud adalah keraguan membatalkan hukuman hadd.

“Zulkifli mungkin bertanya adakah ini bermakna seorang suami yang meliwat isterinya akan terlepas hukuman? Jawapan kepada soalan tersebut adalah tidak. Suami yang meliwat isteri masih boleh dihukum tetapi bukan dengan hukuman hudud sebaliknya beliau hanya boleh dihukum oleh hukuman takzir,” kata Hanipa lagi.

Jelas beliau, jika Zulkifli cermat dan tidak tergopoh-gapah membaca keseluruhan enakmen tersebut beliau akan pasti dapat melihat Seksyen 3 enakmen yang sama, yang menyatakan secara jelas, “dengan syarat bahawa apabila sesuatu kesalahan hudud atau qisas tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud atau hukuman qisas kerana tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki bagi hukuman-hukuman itu, maka kesalahan itu adalah menjadi suatu kesalahan takzir dan hendaklah ia dihukumkan demikian.”

“Seksyen 3 enakmen tersebut sekali gus menjawab segala kekeliruan yang Zulkifli cuba timbulkan. Seksyen 3 menunjukkan bahawa liwat ke atas isteri tetap salah menurut enakmen yang PAS gubal tetapi ia bukan kesalahan hudud sebaliknya ia hanya satu kesalahan takzir. Dan, Zulkifli juga kena faham hukum takzir tidak semestinya lebih ringan dari hukuman hudud,” katanya lagi.- Malaysian Insider

Tiada ulasan: