Rabu, 12 Oktober 2011

Peneroka diugut tarik balik saman Felda

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Lima peneroka Felda Palong 9, Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis selepas menerima ugutan supaya menarik semula saman mereka terhadap Felda.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Ladang Gedes Jempol, kira-kira jam 11.45 pagi tadi.

Menurut Peguam T Kumar seperti dipetik KeadilanDaily, peneroka tersebut diugut tidak akan menerima bantuan daripada pihak pengurusan Felda, seperti surat sokongan untuk sekolah anak-anak jika tidak menarik balik saman tersebut.

“Dalam masa beberapa minggu, pihak pengurusan datang dari rumah ke rumah bersama dengan ketua cawangan (Umno). Amaran yang diberikan kepada peneroka merupakan ugutan secara tidak langsung dan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada KeadilanDaily.

7 Julai lalu, seramai 113 peneroka memfailkan saman terhadap Felda kerana kecuaian pemberian tender menebang kayu getah.

Mereka menamakan sembilan defendan, antaranya Felda, pengurus Felda Palong 9, Saleh Muhidin, dan ketua kampung, Osman Parman yang juga ketua cawangan Umno.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, kumpulan itu berkata pengurus Felda dan anggota JKKR pada satu mesyuarat 16 Mac tahun lalu telah memutuskan projek untuk memproses pokok getah yang ditebang akan dianugerah menerusi tender terbuka dan diberi kepada pembida tertinggi.

Pegawai khas pengarah Felda, Datuk Ramli Ismail, juga hadir pada mesyuarat itu, kata kenyataan tuntutan mereka.

Bagaimanapun, kontraktor dilantik Felda, Syarikat LBJ Global dianugerahkan projek itu pada harga bidaan RM8,205 sehektar atau RM33,000 bagi setiap peneroka iaitu paras harga yang lebih rendah daripada harga siling yang dipersetujui.

Mereka mendakwa Felda telah abai dan cuai menjaga kepentingan plaintif-plaintif yang telah menyebabkan plaintif mengalami kerugian dan kehilangan.

Malah mereka juga mendakwa Felda dan pengurusnya ‘membuat representasi dan salah nyata’ bahawa harga RM33,000 bagi setiap peneroka adalah harga paling tinggi dan berpatutan mengikut harga pasaran.

Setiap peneroka mempunyai kawasan seluas 10 ekar (empat hektar).

Tiada ulasan: