Khamis, 13 Oktober 2011

Pencari suaka: Tiada sokongan, PM Australia gugur pelan kerjasama Malaysia

THE MALAYSIAN INSIDER

CANBERRA – Sebagaimana telah dijangkakan sebelum ini, kerajaan Australia telah menggugurkan urusan pertukaran suaka dengan Malaysia hari ini – kira-kira tiga bulan selepas perjanjian berkenaan dimeterai.

Sehubungan itu, Canberra berkata pihaknya akan memproses urusan permohonan pencari suaka di bumi Australia sendiri – keputusan yang diambil ekoran kegagalan mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen.

Perdana Menteri Julia Gillard (picture) terpaksa melupakan pelan kerjasama dengan Malaysia sebab beliau tidak mempunyai sokongan yang secukupnya untuk meminda undang-undang migrasi yang membolehkan pertukaran pencari suaka, lapor Reuters petang ini.

Langkah itu terpaksa diambil ekoran satu keputusan mahkamah akhir Ogos lalu.

Jika Gillard meneruskan usaha mendapatkan sokongan menerusi pengundian, undang-undang itu sudah pasti akan muncul sebagai akta kerajaan yang pertama dalam 80 tahun ditolak oleh Dewan Perwakilan, sekali gus akan mengakibatkan kerajaan minoriti beliau berhadapan dengan dakwaan tidak boleh menguasai Parlimen.

“Kita tidak berada dalam kedudukan untuk melaksanakan kerjasama dengan Malaysia,” kata Gillard kepada pemberita tetapi berkata kerajaannya terus menyokongan pelan itu.

“Nampaknya perundangan ini tidak akan diluluskan di Parlimen,” kata beliau.

Ini kegagalan kedua Gillard memperoleh kelulusan mengadakan pusat pemprosesan pencari suaka di luar tanah Australia.

Tahun ini, Gillard mengumumkan bahawa Timor Leste akan menghos sebuah pusat tetapi gagal mendapatkan sokongan kerajaan negara baru itu ke atas rancangan itu.

Tiada ulasan: