Ahad, 23 Oktober 2011

MIC mahu tukar kerusi parlimennya di Selangor

MALAYSIA KINI

MIC, yang hanya memenangi tiga daripada sembilan kerusi parlimen yang ditandinginya pada pilihan raya umum 2008, berhasrat membuat pertukaran satu daripada kerusi yang diperuntukkan kepadanya di Selangor dengan kerusi di Kedah atau Pulau Pinang.

mic agm president g palanivelPresidennya Datuk G Palanivel berkata walaupun dua negeri berkenaan mempunyai ramai penduduk India, tetapi tiada satupun kerusi parlimennya ditandingi parti berasaskan kaum itu.

"Kami bertanding di empat kerusi Parlimen di Selangor pada 2008...kenapa perlu sampai empat sedangkan di Kedah dan India ada ramai anggota masyarakat India, tapi tak ada kerusi?" kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Parti ketiga terbesar dalam BN itu kalah semua empat kerusi Parlimen yang ditandinginya di Selangor -- Kapar, Kota Raja, Subang dan Hulu Selangor, yang calonnya ialah Palanivel sendiri.

Pilihan raya umum itu juga menyaksikan orang kuat MIC Datuk Seri S Samy Vellu kalah di Sungai Siput dan Datuk S.Sothinathan pula kecundang di Teluk Kemang. Parti itu hanya mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands, Segamat dan Tapah.

NONEBagaimanapun, MIC menawan semula kerusi Hulu Selangor melalui P Kamalanathan dalam satu pilihan raya kecil pada 2010.

"Kami sedang berunding tentang kemungkinan membuat pertukaran kerusi," kata Palanivel, yang setakat ini belum mengisytiharkan sama ada akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Mengenai calon pula, Palanivel berkata beliau tidak bercadang membuat perubahan besar dan lebih mengutamakan mereka yang sudah dikenali ramai serta mampu memberi hasil yang lebih baik.

Perbuatan sabotaj

Bagaimanapun, kata beliau pengumuman tentang calon yang dipilih akan dibuat pada waktu yang sesuai untuk mengelak perbuatan sabotaj.

"Bahagian boleh mencadangkan nama. Tapi, presiden partilah yang akan memilihnya...sayalah yang akan membuat keputusan muktamad mengenainya," kata beliau.

MIC 65th AGM pwtc crowd piccDitanya sejauh mana masyarakat India memberi sokongan kepada BN ketika ini, Palanivel berkata sokongan yang diterima parti gabungan itu semakin meningkat, walaupun tidaklah setinggi 70 hingga 80 peratus seperti sebelum pilihan raya umum 2008.

Sambil menegaskan bahawa sokongan pemilih India amat penting bagi BN untuk membolehkan parti itu terus berkuasa dan mendapat semula majoriti dua pertiga yang hilang daripada genggamannya pada 2008, beliau berkata peningkatan sokongan itu bagaimanapun tidak boleh dipandang ringan kerana sikap pengundi boleh berubah ketika pilihan raya.

Oleh itu, kata beliau, amat penting bagi kerajaan terus memperjuangkan nasib masyarakat India, termasuk menangani keresahan mereka tentang kekurangan peluang dalam bidang perniagaan dan beberapa isu lain termasuk kenaikan pangkat penjawat awam berketurunan India, jenayah dalam kalangan belia India dan peluang pekerjaan dalam syarikat berkaitan kerajaan serta kemudahan perumahan.

azlan"Kami menerima banyak aduan bahawa penjawat awam berketurunan India dipinggirkan dalam urusan kenaikan pangkat, hingga memerlukan naib presiden Datuk K Devamany dilantik mempengerusikan sebuah jawatankausa untuk menangani perkara itu, " katanya.

Usahawan India

Palanivel berkata beliau gembira kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri cuba menyelesaikan isu berkenaan, termasuk menyediakan dana RM100 juta melalui Belanjawan 2012 untuk usahawan India di bawah program Amanah Ikhtiar Malaysia.

"Kaum India memerhati setiap langkah saya dan MIC. Kami tak boleh berjanji berlebih-lebihan, sedangkan tak mampu menunaikannya... Saya perlu berhati-hati dengan janji yang dibuat," kata bekas wartawan itu.

Beliau berkata beberapa isu yang disuarakan MIC telah diselesaikan kerajaan, termasuk berkaitan penambahan 1,000 tempat dalam program matrikulasi dan peruntukan RM8 juta untuk menubuhkan Koperasi Suria bagi membantu peruncit berketurunan India.

azlanBagaimanapun, kata beliau usaha untuk membawa kaum itu ke dalam arus utama masyarakat Malaysia tidak wajar diserahkan kepada kerajaan dan MIC semata-mata kerana ahli perniagaan dan profesional India juga perlu memainkan peranan mereka dalam hal itu.

"Sebagai contoh, kuil juga boleh memperuntukkan satu perlima daripada jumlah yang disumbangkan kepadanya untuk membantu ibu tunggal dan golongan miskin," kata beliau.- Bernama

Tiada ulasan: