Sabtu, 22 Oktober 2011

Menteri nafi dakwaan Anwar, 92 peratus projek belum dilaksana

FREE MALAYSIA TODAY

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata setakat 20 Okt, 228 buah projek atau 74 peratus yang bernilai RM197 juta daripada 310 buah projek diumumkan telah siap dilaksanakan.



KUCHING: Kerajaan Persekutuan hari ini menafikan tuduhan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa 92 peratus daripada 310 projek bernilai RM2.3 bilion yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Sarawak masih belum dilaksanakan sehingga kini.

Sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai pembohongan besar yang bertujuan mengelirukan rakyat negeri ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata setakat 20 Okt, 228 buah projek atau 74 peratus yang bernilai RM197 juta daripada 310 buah projek diumumkan telah siap dilaksanakan.

Beliau berkata hanya 41 projek (13 peratus) belum bermula manakala 41 projek lagi (13 peratus) sedang dalam perlaksanaan ”Kenyataan beliau (Anwar) hanya empat peratus daripada projek tersebut ditawarkan secara tender tidak benar kerana 95 peratus daripada keseluruhan projek dibuat secara tender,” katanya dalam sidang akhbar bagi menjawab dakwaan Anwar semasa sidang media di bangunan Parlimen Khamis lepas.

Uggah, yang juga menteri bertanggungjawab memantau kesemua 310 projek yang diumumkan Najib dan Muhyiddin untuk Sarawak, sekali lagi memberi jaminan segala projek yang diumumkan akan dilaksanakan dengan satu jawatankuasa penyelarasan projek khas dan projek tinjaun mesra Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dibentuk bagi memantau proses pelaksanaan dengan dibantu Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Kontraktor lambat

“Kita juga selalu mengadakan mesyuarat dengan setakat ini tujuh mesyuarat dijalankan untuk mengenal pasti masalah dihadapi sebelum projek dapat dijalankan serta mencari jalan penyelesaian dan antara masalah yang sering dihadapi ialah masalah pengambilan tanah, kontraktor lambat dan masalah antara jabatan serta agensi,” katanya.

Beliau berkata program turun padang dilaksanakan antaranya melawat tapak baru Hospital Sri Aman serta mengumumkan khidmat dua pakar perubatan untuk Sri Aman yang dijanjikan oleh Perdana Menteri sebelum pilihan raya negeri Sarawak awal tahun ini.

Uggah berkata pembinaan Hospital Sri Aman baru dijangka bermula tahun depan dengan tender dikeluarkan tidak lama lagi.

Pada 8 Ogos lepas, Uggah mengumumkan projek pembinaan Hospital Sri Aman baru bernilai RM200 juta membabitkan kawasan tapak baru seluas 20.4 hektar terletak 2.5 kilometer dari tapak hospital lama dan dijadual siap pada tahun 2015.

Selain Sri Aman, turut dilawati ialah Bahagian Betong serta Kapit untuk memantau pelbagai projek infrastruktur dan dalam masa terdekat jawatankuasa itu akan melawat Marudi dan Belaga untuk memantau pelaksanaan dua projek jalan raya yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), katanya.

“Saya amat kesal dengan kenyataan Ketua Pembangkang yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya sambil menasihatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan pembohongan Anwar.-Bernama

Tiada ulasan: