Mungkin ia Perhimpunan Agung Tahunan MCA yang terakhir, mungkin tidak... sebelum PRU ke-13 diadakan. Demikianlah kenyataan Pengerusi Barisan Nasional Najib Razak ketika merasmikan perhimpunan MCA pagi ini, yang masih enggan memberi isyarat "tarikh PRU ke-13". Bagaimanapun, Presiden MCA Chua Soi Lek sudah tidak sabar untuk memberi jaminan bahawa MCA telah bersedia untuk bertempur dalam PRU akan datang.
Berbeza dengan perhimpunan agung yang lalu, MCA kali ini jelas menyasarkan "musuh politik" di luar, dan mengelakkan diri daripada menyiku rakan parti dalam Barisan Nasional. Beberapa perhimpunan agung sebelum PRU ke-12, malah selepas itu, menyaksikan bagaimana perwakilan MCA menuding jari terhadap rakan partinya, khususnya UMNO ketika berucap dalam sesi perbahasan.
Kalau sebelum ini MCA terpaksa memberi reaksi terhadap "tindakan Ketua Pemuda UMNO menghunus keris", kali ini mereka tidak perlu berbuat demikian. Sungguhpun penyelewengan dan ketidakadilan masih berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, namun perwakilan MCA cuba mengelakkan diri daripada menyentuhnya; sebaliknya menyasarkan musuh politik tradisionalnya, iaitu DAP.
Chua Soi Lek (gambar kiri) cuba memberi isyarat tanpa menyebut nama, meluahkan ketidakpuasan terhadap sesetengah pemimpin yang "mendabik dada sebagai abang besar, yang sebenarnya 'pembuli'." Namun apabila diminta untuk memperjelaskan siapakah yang dirujuk olehnya dalam sidang media, Chua Soi Lek sekadar menjawab "siapa makan cili dia rasa pedas".
Isu Hukum Hudud melegakan MCA
Kemunculan semula pertikaian "Hukum Hudud" sejak kebelakangan ini memberi kesempatan MCA untuk menarik nafas buat seketika. Tema perhimpunan agung kali ini jelas, menyerang PAS kerana mahu menubuhkan negara Islam teokrasi di Malaysia, disifatkannya sebagai satu langkah ke belakang. DAP dituduh sebagai boneka yang bersekongkol dengan PAS dan PKR, mengkhianati kepentingan masyarakat Cina; malah meniru lojik hujah musuhnya sebelum ini: hukum PAS dengan tidak mengundi DAP.
Misalnya, Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu (gambar kanan) membidas DAP kerana berkempen untuk calon PAS meskipun sedar bahawa matlamat perjuangan PAS adalah untuk menubuhkan Negara Islam. Malah Gan Ping Sieu meluahkan kebimbangan seandainya PAS melontarkan usul ini dan memaksa wakil rakyat muslim dari UMNO untuk menyatakan pendirian dalam parlimen. Singkatnya, Gan membidas bahawa DAP telah mengelirukan masyarakat Cina untuk menjurus kepada perkembangan PAS.
Bandingkan Hukum Hudud dengan 1Malaysia
Tidak cukup dengan itu, Timbalan Presiden MCA Liow Tiong Lai yang berucap dalam sesi penggulungan, mengajak perwakilan untuk membandingkan antara "Negara Islam" oleh PAS-Pakatan Rakyat, dengan program transformasi di bawah gagasan 1Malaysia oleh Najib Razak. Sebelum ini, pujian demi pujian telah dikalungkan kepada Najib Razak, sebagai penghargaan kerana berani mengambil langkah untuk melaksanakan beberapa perubahan, misalnya pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Tidak kurang juga serangan dilancarkan ke atas kerajaan negeri Pakatan Rakyat, menyanggah kritikan DAP sebelum ini. Misalnya, sejak dahulu MCA berdepan dengan tekanan apabila peruntukan kerajaan untuk pendidikan aliran sekolah Cina jenis kebangsaan tidak mencerminkan nisbah pelajar yang sepatutnya. DAP sering menuntut agar peruntukan kepada aliran sekolah Cina "diinstitusikan", dan bukannya dijadikan "gula" menjelang pilihan raya. Bagaimanapun, MCA kali ini menyanggah tuduhan DAP-Pakatan Rakyat, mendakwa bahawa buku Jingga juga tidak menjanjikan peruntukan yang "diinstitusikan".
Malah, kerajaan negeri Selangor dikatakan tidak memperuntukkan tanah untuk pembinaan sekolah aliran Cina sejak 8 Mac 2008, namun keadaan sebaliknya berlaku di Johor yang berada di bawah Barisan Nasional, dengan lima bidang tanah diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk pembinaan sekolah Cina. Chua mengambil contoh ini untuk membuktikan bahawa DAP sekadar bercakap besar dan tidak mengotai janji.
Menaikkan semangat
Chua Soi Lek mengulangi tekad bahawa MCA tidak akan mengambil sebarang perlantikan dalam kerajaan seandainya prestasi MCA tidak memperlihatkan peningkatan berbanding PRU ke-12. Beliau mendakwa tindakan tersebut adalah untuk "menghormati suara pengundi", dan bukannya ugutan kepada rakyat.
"Jika seandainya wujud 'ugutan' sekalipun, ia harus dilihat kepada parti dan anggota-anggota parti bukannya para pengundi," kata Chua Soi Lek dalam ucapan dasarnya pagi ini. Kata-kata ini disambut dengan tepukan gemuruh di depan PM Najib Razak, mungkin memberi persepsi kepada Najib, yang kemudiannya berkata dirinya telah merasai semangat MCA untuk bertempur dalam PRU akan datang.
Baca: Nafi tuduhan Pakatan, Najib pertahan pilihan raya bersih dan adil
Baca: MCA: Hukum PAS dengan tidak mengundi DAP
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan