Khamis, 27 Oktober 2011

Laporan Audit: Anwar dakwa kelemahan pengurusan kerajaan BN aibkan Negara

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR― Pendedahan kelemahan dan pengurusan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 kelmarin, adalah satu perkembangan mengaibkan negara, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sungguhpun (Perdana Menteri Datuk Seri Najib (Razak) mengumumkan pelbagai janji untuk menangani kepincangan kelemahan dan ketirisan, namun ternyata janji-janji tersebut masih belum terpenuhi,” kata Anwar (gambar).

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan dan menjadi bukti kegagalan dasar transformasi yang dirangka Perdana Menteri, kata beliau dalam satu kenyataan.

Anwar berkata Pakatan Rakyat tuntas menyatakan segala perubahan dan setiap reformasi sistem yang menyeluruh memerlukan iltizam politik yang jitu serta ikhlas demi manfaat rakyat Malaysia.

Justeru, Ketua Umum Pakatan Rakyat ini menambah, tanpa iltizam serta kegigihan dan tiadanya penyertaan rakyat untuk bersama-sama membangunkan negara ini, segala kebijakan mahupun dasar yang dirangka pastinya menemui kegagalan.

Laporan Ketua Audit Negara meneruskan tradisi dengan mengetengahkan pelbagai kelemahan ― lebihan perbelanjaan, projek gagal dilaksanakan, pengurniaan projek tanpa melalui tender dan ketiadaan penyenggaraan sewajarnya termasuk ke atas Stadium Nasional dan Stadium Putra di Bukit Jalil.

Anwar, bekas menteri kewangan berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang gagal dikemukakan dalam Dewan Rakyat bersekali dengan Laporan Ekonomi dan dokumentasi belanjawan negara sejajar dengan amalan Parlimen Malaysia sekian lama, akhirnya diedarkan sebagai Kertas Perintah 40 Tahun 2011 kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat kelmarin.

Pengedarannya lewat 17 hari dari tarikh pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu.

Anwar juga berkata kegagalan pengedarannya dibangkitkan berulang kali oleh ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat meskipun sebenarnya Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan telah siap ditandatangani oleh Ketua Audit Negara pada 8 Julai dan Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Pengurusan Kewangan Dan Aktiviti Serta Pengurusan Syarikat Subsidiari Badan Berkanun Persekutuan ditandatangani pada 16 Jun.

“Sewajarnya tidak timbul masalah lewat mengedarkan laporan tersebut kecuali lah ada muslihat untuk menyembunyikan fakta sebenar dari pengetahuan rakyat,” katanya.

Di sebalik kelewatan itu kata beliau, hasil penelitian prestasi terhadap pelaksanaan aktiviti di bawah 32 kementerian dan jabatan-jabatan persekutuan dan pengurusan tuju syarikat kerajaan, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa dari segi pelaksanan aktiviti dan projek yang dijalankan terdapat beberapa kelemahan yang berpunca daripada penyeliaan yang kurang rapi, ketiadaan pemantauan yang berkesan, kekurangan peruntukan kewangan dan kekurangan kakitangan serta kepakaran. Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan kelemahan, kepincangan dan penyelewengan yang berlaku dalam 45 aktiviti dan projek.

“Mengaibkan adalah pendedahan terhadap kepincangan beberapa aktiviti atau projek yang mensasarkan golongan berpendapatan rendah dan rakyat termiskin,” katanya.

Menurut Anwar, antara projek dan aktiviti tersebut adalah:

― Kelemahan pengurusan Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM691.52 juta pada 2010 dan didapati mengalami kegagalan 54.4 peratus daripada pencapaian objektifnya.

― Kelemahan pengurusan Skim Insentif Peningkatan Hasil Padi di bawah Kementerian Pertanian yang mendedahkan kegagalan Kerajaan Persekutuan membayar insentif berjumlah RM110.67 juta kepada 73,291 pesawah kerana peruntukan tidak mencukupi. Insentif Peningkatan Hasil Padi (IPH) adalah untuk memberi galakan kepada petani untuk meningkatkan hasil padi semasa dan meningkatkan tahap sara diri.

― Kelemahan pengurusan penyenggaraan jalan persekutuan yang diswastakan di Sarawak setelah sejumlah RM462.46 juta telah dibelanjakan. Program penswastaan penyenggaraan jalan persekutuan di negeri Sarawak dilaksanakan oleh tiga syarikat konsesi iaitu PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd, Endayan Construction Sdn Bhd dan HCW Engineering Sdn Bhd.

Mengikut perjanjian penswastaan, jalan persekutuan yang perlu disenggarakan setakat 14 Julai 2003 ialah sepanjang 1,326km dan telah meningkat kepada 1,566km setakat 31 Disember 2009. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Ogos hingga Disember 2010 mendapati secara umumnya keadaan jalan persekutuan adalah kurang memuaskan walaupun sejumlah RM462.46 jua telah dibelanjakan untuk penyenggaraannya bagi tempoh tahun 2005 hingga 2010.

― Kelemahan pengurusan projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua di pelbagai kementerian dan jabatan yang terdedah kepada pelbagai bentuk penyelewengan perbelanjaan, bayaran dan peruntukan.

Laporan Ketua Audit Negara turut menyentuh Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua berjumlah RM60 bilion yang dilancarkan pada 10 Mac 2009 bertujuan merangsangkan ekonomi negara dalam tempoh yang singkat.

Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua telah dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun iaitu tahun 2009 dan 2010 dengan peruntukan berjumlah RM15 bilion. Sehingga 31 Disember 2010, Kementerian Kewangan telah mengagihkan RM13.23 bilion kepada 27 kementerian/jabatan/skim untuk melaksanakan 51,560 projek.

Daripada jumlah yang diagih, hanya RM10.09 bilion (76.3 peratus) telah dibelanjakan melibatkan 49,169 (95.4 peratus) projek. Pengauditan yang dijalankan pada tahun 2010 terhadap sembilan program di enam kementerian/jabatan yang melibatkan 201 projek mendapati kesemuanya telah siap dilaksanakan dengan bayaran berjumlah RM426.69 juta kecuali satu projek iaitu Pembinaan Jambatan Sungai Padas Kedua, Beaufort, Sabah.

Tiada ulasan: