Rabu, 12 Oktober 2011

Hudud: Kelantan beri pemimpin Pakatan taklimat di pejabat DAP


KUALA LUMPUR — Di sebalik kontroversi yang berterusan, Kelantan mengambil langkah mencari sokongan dengan memberi penjelasan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berhubung hasrat kerajaan negeri pimpinan PAS itu mahu memperkenalkan hukum hudud. Difahamkan pada majlis penerangan itu, yang diadakan di ibu pejabat DAP di sini petang kelmarin, taklimat diberikan oleh tiga Exco Kerajaan Negeri.

Ia susulan mesyuarat khas Pakatan Rakyat dua minggu lalu.

Isu hukum hudud kerajaan negeri Kelantan muncul semula awal bulan lepas ekoran satu pandangan pada seminar syariah nasional di Kota Baru.

The Malaysian Insider difahamkan pertemuan itu diadakan atas permintaan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sendiri dan dihadiri oleh kesemua pemimpin kanannya kecuali Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Exco yang memberi penjelasan pada pertemuan itu ialah Datuk Mohd Amar Nik Abdullah iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Takiyuddin Hassan (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan) dan Dr Mohd Fadzli Hassan (Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi).

Mohd Amar juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan. Kelantan membawa hasrat melaksanakan hukum hudud sejak dua dekad lalu.

Perkembangan itu diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

“Rakaman terima kasih dan penghargaan kepada pimpinan Pakatan Rakyat kerana memahami hasrat rakyat dan kerajaan Kelantan berkaitan kewujudan dan usaha memartabatkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan (1993).

“Tidak dilupakan terima kasih jua kepada Exco Kerajaan Kelantan (Datuk Mohd Amar, Datuk Takiyudin dan Dr Mohd Fadzli) kerana (ketiga-tiga) YB dilaporkan cukup ‘pakar’ menjelaskan apa yang tersirat mengenai Undang-undang Syariah tersebut ketika perjumpaan pimpinan Pakatan Rakyat pada 10 Oktober lalu (kelmarin) di pejabat DAP, Jalan Pudu,” kata Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS.

Seorang pemimpin dari Kelantan yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, kerajaan negeri mengadakan taklimat ekoran permintaan daripada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan inisiatif Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh kerana pihak DAP dan PKR sendiri menunjukkan kesediaan untuk mendengar usaha kami, maka kami juga menggunakan peluang itu dengan baik. Pengerusi DAP Karpal Singh juga hadir pada pertemuan kira-kira dua jam ini,” kata beliau lagi.

“Datuk Nik Aziz tidak hadir tetapi beliau gembira dengan laporan yang dikemukakan hasil pertemuan itu, yang dijalankan secara musyawarah,” katanya yang enggan namanya didedahkan.

Bagaimanapun beliau juga enggan berkongsi butiran lanjut hasil pertemuan itu termasuk pendirian DAP dan PKR ekoran penjelasan tersebut.

Mengenai tindakan susulan kata beliau, perkara itu belum diputuskan dan “akan dibincangkan oleh kerajaan negeri” selepas ini.

Rombongan PAS diketuai oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Pada 28 September lalu, Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas bahawa hukum hudud tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.

Anwar memberitahu hukum hudud bukan sebahagian daripada dasar Pakatan Rakyat dan bantahan DAP perlu dihormati.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, Anwar, Hadi dan Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata mesyuarat Pakatan Rakyat 28 September lalu memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, dasar bersama dan Buku Jingga.

“Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

“Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah,” kata mereka.

Beberapa hari sebelum itu, Karpal menggesa Pakatan Rakyat memanggil mesyuarat tergempar kepimpinan dengan segera bagi menyelesaikan kontroversi ini.

Karpal yang sebelum ini secara terbuka mengkritik hasrat kerajaan negeri Kelantan menegaskan, pihaknya akan sentiasa menolak pembentukan negara Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, kelewatan menangani isu semasa ini akan menjejaskan keyakinan rakyat ke atas Pakatan Rakyat khususnya di kalangan bukan Islam.

Pada waktu itu juga Nik Aziz yang mengetuai kerajaan negeri Kelantan sejak 1990 berkata, beliau lebih rela jika DAP mahu keluar Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud.

Tiada ulasan: