Ahad, 9 Oktober 2011

BAJET 2012 MENGORBANKAN KANAK-KANAK?

DATUK PATRICK SINDU

SURAT terbuka ini saya tujukan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohammad dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berhubung penggunaan bateri asid plumbum dalam industri penjanaan tenaga elektrik solar di Sabah.

Sudah hampir 100 artikel mengenai bahaya bateri asid plumbum disiarkan di Sabahkini.net dan di media masa; sudah berpuluh video dihasilkan SabahkiniTV dan sudah beratus pucuk surat rasmi dihantar ke jabatan berkaitan; namun isu pencemaran bateri asid plumbum semakin serius dan tidak ada sebarang usaha daripada kerajaan untuk menghentikan penyeludupan masuk dan keluar logam berat ini di Sabah.

Hasil kajian yang dijalankan oleh Pusat Racun Negara dan Yayasan Sabah di semua Tadika di Pantai Barat Sabah pada 1996, sewajarnya menjadi teladan kepada Kerajaan Barisan Nasional yang baru sahaja membentangkan Bajet 2012 jumaat lalu.

Apa gunanya Bajet 2012 yang kononnya mesra rakyat, jika terpaksa mengorbankan kanak-kanak yang tidak berdosa; semata-mata kerana menyelamatkan kocek para kroni menteri yang terlibat memanggil tender untuk membekalkan bateri asid plumbum, yang bukan sahaja terlalu mahal, malah membahayakan kanak-kanak dan mencemar alam sekitar?

Di mana fungsi SPRM jika membenarkan rasuah bermaharajalela di Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar (KKLW), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Kementerian Pelajaran melalui penyeludupan masuk bateri asid plumbum tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar?

Kenapa kerajaan Negeri Sabah membenarkan lambakan bateri asid plumbum yang dibawa masuk melalui pelabuhan tanpa melalui pemeriksaan Kastam dan Jabatan Alam Sekitar, sedangkan tiada tempat pelupusan bateri asid plumbum di Sabah?

Slogan ‘Belilah Barangan Buatan Malaysia’ tidak ubah seperti slogan pelacur jalanan menjerat pelanggan kerana ternyata Kerajaan 1Malaysia pimpinan ‘Bapa Transformasi Malaysia’ gagal merealisasikan slogan berkenaan sedangkan Malaysia telah mengeluarkan bateri lithium polymer untuk kegunaan dunia.

Tidakkah Perdana Menteri Malaysia malu jika Amerika, Korea dan Jepun mengimport bateri lithium polymer buatan Malaysia dan mengeksport semula ke negara ini dengan harga tujuh kali ganda, sedangkan kerajaan boleh menjimatkan ratusan juta jika membeli terus daripada kilang di Malaysia?

Sebagai Aktivis Masyarakat Dan Hak Asasi Manusia, saya kesal kerana Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan tidak langsung mempedulikan nasib lebih 300 kanak-kanak yang disahkan mempunyai kandungan plumbum yang tinggi dalam darah mereka pada 1996, sedangkan kesemuanya kini sudah berusia 21 tahun. Malang sekali kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan kanak-kanak perempuan boleh mewariskan keracunan plumbum ini kepada anak cucu selama tiga generasi.

Kenapa Perdana Menteri dan isterinya yang prihatin terhadap Kanak-Kanak sehingga menubuhkan PERMATA, tidak langsung mewujudkan Klinik Khas Rawatan Plumbum di Sabah sedangkan kajian pada 1996 sudah cukup membimbangkan?

Mungkin masih belum terlambat untuk Perdana Menteri, Ketua Menteri dan SPRM mengambil langkah pencegahan sebelum terlambat kerana rakyat yang marah sudah bosan dan tidak akan membuat bising lagi; sebaliknya menjatuhi hukuman pada pilihanraya umum akan datang; mungkin lebih buruk daripada nasib BN pada 2008.

Tiada ulasan: