13 Mei bukan sahaja merupakan detik hitam sejarah pembangunan bangsa yang paling diingati khalayak ramai pasca kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, tarikh itu juga menandakan permulaan sejarah penapisan berkaitan akhbar tanah air semenjak kira-kira 200 tahun dahulu.
Tanggal 13 Mei 1799, peraturan berkenaan dengan penapisan akhbar telah diperkenalkan di Bengal, India. Sejarah pada ketika itu juga menyaksikan peraturan penerbitan akhbar di India diperluaskan sehingga merangkumi Negeri-negeri Selat. Menurut kajian Mohd. Safar Hasim, peraturan berkenaan dengan penapisan akhbar menyatakan dengan jelas bahawa akhbar hanya boleh diterbitkan setelah semakan terlebih dahulu telah dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan, atau wakil yang diberi kuasa olehnya. Barangkali kerana Setiausaha Kerajaan tidak mahu diganggu pada hari Sabtu, yakni melakukan kerja semakan sehari sebelum akhbar diterbitkan, maka diperuntukkan juga penetapan bahawa akhbar tidak boleh diterbitkan pada hari Ahad. (Mohd. Safar Hasim (1996) Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia Sejak 1806. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Buku ini menjadi rujukan utama kepada sebahagian besar fakta sejarah dalam artikel ini, tetapi intepretasi fakta adalah menurut perspektif penulis.)
Wacana pemerintah berkenaan penapisan akhbar bermula dengan dakwaan bahawa editor cenderung menyalahgunakan akhbar bahkan sering tersiar artikel yang tidak sesuai dalam akhbar, maka adalah wajar diwujudkan peraturan bersifat larangan dan hukuman. Sifat akhbar yang unik berbanding dengan barangan lain menjadikannya salah satu tumpuan golongan pemerintah. Lantaran itu, wacana penapisan akhbar yang dibangkitkan dan ditonjolkan oleh golongan yang memegang tampuk pemerintahan adalah selaras dengan kepentingan mereka.
Tujuan utama di sebalik wacana penapisan akhbar yang berkait rapat dengan kepentingan golongan pemerintah, disisihkan daripada mengisi ruangan pendapat akhbar. Penonjolan dakwaan-dakwaan yang menuding jari kepada aspek penyalahgunaan akhbar dapat memastikan pembaca disalurkan dengan maklumat terpilih sahaja sementara maklumat lain dipencilkan lantas memperkukuh wacana pemerintah berkenaan kewajaran penapisan akhbar.
Sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, wacana penapisan akhbar mendominasi sejarah pembangunan negara dengan dakwaan-dakwaan baharu. Banyak tindakan telah diambil oleh golongan pemerintah, kali ini tidak lagi melihat akhbar sebagai sekadar barangan tertentu tetapi sebagai sebahagian daripada industri yang unik dan alat propaganda utama untuk menjaga kepentingan politik dan ekonomi mereka. Tertanamnya mentaliti neo-kolonialisme, dengan tujuan dan manisfestasi tersendiri, wacana pemerintah berkenaan penapisan akhbar menjadi lebih hebat lagi.
Penapisan akhbar hanyalah sebahagian daripada tindak-tanduk pemerintah apabila diteliti sejarah kawalan dan pemilikan media. Sebab itu, sejarah akhbar selepas kemerdekaan Tanah Melayu menyaksikan ratusan pekerja Utusan Melayu melancarkan mogok selama 93 hari pada tahun 1961 semasa peristiwa pengambil-alihan Utusan Melayu oleh kumpulan yang berkait rapat dengan UMNO. Kebebasan persuratkhabaran telah dibangkitkan sebagai wacana baharu semasa berdepan dengan tekanan besar kuasa politik. Wacana kebebasan akhbar yang dibangkitkan oleh wartawan Utusan Melayu berbeza sekali dengan wacana pemerintah berkenaan penapisan dan kawalan akhbar. Secara asas, wacana kebebasan media memang bercanggah dengan wacana pemerintah berkenaan kewajaran kawalan media.
Sesungguhnya, empat dasar baharu yang diperkenalkan selepas pengambilalihan Utusan Melayu telah menyatakan dengan jelas tujuan sebuah parti pemerintah menyetujui bahkan mengambil tindakan proaktif dalam hal pemilikan media meskipun wacana pemerintah sering bertapak atas dakwaan bahawa kebebasan media menjurus kepada penyalahgunaan media seakan-akan dakwaan seumpama ialah tujuan sebenarnya.
Antara inti pati empat dasar tersebut yang kelihatan masih sejajar dengan tindakan penapisan oleh Utusan Malaysia dewasa ini termasuk "memberikan sokongan penuh kepada parti yang memerintah", "menyiarkan lebih banyak berita dengan kepala-kepala berita yang besar mengenai menteri-menteri Perikatan (hari ini Barisan Nasional)" dan "menyokong Perikatan apabila perbuatan sudah dilakukan".
Hari ini, perkembangan pesat industri media menyaksikan pelbagai bentuk penapisan dilakukan bukan sahaja atas keperluan kawalan undang-undang yang ketat, arahan pemerintah dan tekanan politik tetapi juga atas pertimbangan kepentingan pemilik dan tekanan pengiklan. Dalam konteks ini, selain tindakan penapisan terhadap ruang berita mengenai Malaysia dalam majalah yang memalukan Kerajaan Malaysia baru-baru ini, media dalam talian telah banyak kali melaporkan arahan penapisan yang diterima oleh media cetak dan penyiaran terutamanya semasa saat-saat getir.
Umpamanya, dua minggu setelah anak seorang Perdana Menteri dan bangsawan memegang tampuk kuasa, tatkala kehangatan isu pembunuhan Altantuya, stesen televisyen dilaporkan menerima notis agar tidak menyiarkan, malah menyebut nama tertuduh ketiga, iaitu Razak Baginda sekiranya melaporkan kes tersebut.
Berikutan kenyataan Najib Razak bahawa kerajaan akan mengkaji cara mengendali penapisan media selaras dengan perkembangan landskap dan persekitaran semasa, pemahaman terhadap sejarah penapisan media tanah air menjadi lebih penting. Hal ini kerana sejarah berkaitan menunjukkan wacana pemerintah yang mendominasi landskap media selama ini, adalah bercanggah malahan bertembung dengan wacana kebebasan media yang dibangkitkan oleh wartawan dan masyarakat madani.
Sudah berpuluh-puluh tahun kita disajikan dengan wacana pemerintah seumpama. Contohnya dua hari selepas 13 Mei 1974, dilaporkan oleh New Straits Times, Timbalan Menteri Penerangan ketika itu Shariff Ahmad mengingatkan wartawan supaya bersedia untuk mengenakan penapisan sendiri sebelum sesuatu berita diserahkan untuk pencetakan dan penerbitan. Pernahkah bumi Malaysia berdepan dengan kekurangan wacana pemerintah berkenaan penapisan media selama ini? Apakah bumi Malaysia berdepan dengan "kematian wartawan secara konseptual", sehingga pemerintah tidak dapat membiarkan para wartawan yang saban hari berkemampuan mengendalikan pelbagai berita, untuk mengendalikan isu penapisan media tanpa campur tangan pemerintah?
Penapisan adalah sesuatu yang kompleks. Selain penapisan atas arahan pemerintah, penapisan diri juga melibatkan banyak pertimbangan. Selagi kerangka kawalan masih berlandaskan undang-undang yang ketat dan wacana pemerintah yang bersifat berubah-ubah bergantung kepada "persekitaran semasa" dan kepentingan politikus, cukup sukar untuk wacana kewartawanan mendasari isu penapisan yang kini hangat diperbualkan. Hal ini juga bermaksud, sesetengah pihak atasan dan editor media yang berkomplot dengan pemerintah atau berselindung di sebalik wacana pemerintah dapat meneruskan pengkhianatan terhadap wacana kewartawanan sambil berbisik sesama mereka: You help me, I help you.
Dalam hal ini, isu Majlis Perundingan Media yang menyaksikan cadangan supaya Majlis tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi Rais Yatim dan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein sebenarnya mempunyai persamaan dengan isu kerajaan mengkaji cara mengendali penapisan media. Dalam kedua-dua isu tersebut, wacana pemerintah mendasari proses pembuatan keputusan.
Sesungguhnya, cabaran terbesar kepada pemerintah ialah kesanggupan mereka melepaskan tangan dan membiarkan pihak wartawan mengendalikan wacana kewartawanan. Wacana pemerintah berkenaan penapisan media, tidak kira betapa teguh pendirian, tidak akan kekal lama apabila kepentingan mereka terancam. Sebelum pemerintah berbicara kuat mengenai isu Majlis Perundingan Media dan penapisan media, mungkin ada baiknya pemerintah merenung kenyataan berikut: Render unto media the things which are media’s, and unto Government the things that are Government’s.
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan