Ahad, 14 Ogos 2011

Umno: Kami juga ada ‘buah tangan Aidilfitri’ lawan strategi Pakatan


KUALA LUMPUR — Umno mengambil pendirian tegas mengetepikan strategi kempen prapilihan raya Pakatan Rakyat dengan melahirkan keyakinan bahawa kekuatan akar umbi mereka sudah cukup untuk mengekang pendekatan pesaingnya yang mahu mempengaruhi rakyat ketika musim perayaan Aidilfitri kali ini.

Pemimpin-pemimpin Umno kekal tidak tertarik dengan pendekatan Pakatan Rakyat, sebaliknya akan melancarkan kempen balas untuk menghadapi sebarang dakwaan yang bakal dibawa perikatan tiga parti itu.

Spekulasi terbaru menunjukkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat selepas sambutan Aidilfitri, yang jatuh akhir Ogos dan awal September.

Malah menurut pemimpin-pemimpin Umno, strategi prapilihan raya Pakatan Rakyat juga bukan sesuatu yang baru dan Umno sudah pun menggunakan taktik kempen yang sama pada masa-masa lalu.

“Beza antara Pakatan dan Umno ialah mereka baru sahaja merancang kempen mereka. Kami sudah pun mendampingi akar umbi sepanjang tahun.

“Kebimbangan besar kami, maklumat yang diberikan oleh Pakatan mengenai isu-isu semasa seperti Bersih dan ekonomi adalah sesuatu yang mengelirukan,” kata Ahli Parlimen Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan kepada The Malaysian Insider.

Oleh itu kata beliau, “kami ada sistem rangkaian sendiri yang telah diwujudkan dan sudah sedia untuk bergerak,” kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Kota Belud ini berkata, kelebihan Umno berbanding Pakatan Rakyat ialah ia mempunyai jentera di seluruh negara membabitkan 20,000 cawangan kecuali di Sarawak.

“Umno mempunyai sistem rangkaian yang baik sama ada ada ketika pilihan raya ataupun tidak. Kami ada 20,000 cawangan di seluruh negara termasuk di kawasan-kawasan di mana Ahli Parlimen adalah dari MCA atau MIC.

“Malah di kawasan kuat Pakatan Rakyat seperti Jelutong, kami ada cawangan-cawangan sendiri untuk menyampaikan maklumat dan menjamin kempen yang lancar,” kata beliau lagi.

Menerusi satu laporan The Malaysian Insider bulan lalu, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menyifatkan sambutan Aidilfitri kali ini bakal memperlihatkan kelainan berbanding tahun lalu.

Para pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat akan dibekalkan dengan kit maklumat khas yang membawa bersama strategi perikatan itu menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Misi mereka tidak lain tidak bukan bertujuan memastikan semangat perhimpunan Bersih 2.0 berterusan dan Pakatan Rakyat melancarkan kempen prapilihan raya umum tidak formal mereka.

Pakatan Rakyat mengambil langkah - program Balik Kampung - ketika perikatan tiga parti itu mendakwa pengundi terus berhadapan dengan masalah akses kepada maklumat mereka sediakan.

Jadi, ia mahu menggunakan pendekatan mudah itu untuk mendampingi rakyat di kawasan luar bandar dan memikat sokongan mereka menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Ramadan bukan satu alasan bagi kami untuk duduk dan relaks. Ia bulan penting bagi Muslim dan orang Melayu di Malaysia, di samping doa dan solat yang lazim dikerjakan, kami harus menggunakan peluang pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli kami ketika balik kampung, membawa bersama isu-isu ini, risalah, untuk menyebarkan mesej Pakatan Rakyat,” kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali kepada The Malaysian Insider.

Azmin, Ahli Parlimen Gombak berkata, PKR sudah pun menyediakan kit maklumat khusus yang terdiri daripada penerangan mengenai isu perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai dan menggariskan kandungan janji Pakatan Rakyat menerusi Buku Jingga.

Abdul Rahman, pemimpin Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN (BBCBN) ini berkata, Umno menunaikan manifesto menerusi program-program setempat seperti gotong-royong, malah kelas-kelas masak yang dianjurkan oleh parti Melayu itu.

“Kami ada helaian fakta dan perangkaan dan juga CD. Apa yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat bukan sains roket... Azmin sendiri merupakan orang Umno dulu, kebanyakan strategi Pakatan merupakan penemuan kami (Umno),” kata Abdul Rahman.

Dalam pada itu, seorang lagi anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Idris Harun memberitahu The Malaysian Insider, akar umbi parti akan memfokus ke atas ceramah dan pertemuan sosial ketika Ramadan sekarang untuk menyenaraikan pelbagai masalah yang dihadapi Pakatan Rakyat — daripada isu-isu kerajaan negeri sehinggalah video seks Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang itu.

“Kami akan membuat penjelasan dan akan membangkitkan kesilapan-kesilapan Pakatan Rakyat dan bagaimana mereka betul-betul hanya oportunis yang menggunakan isu-isu seperti Bersih dan kenaikan harga barang untuk mendapatkan sokongan pengundi.

“Umno perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa pembangkang tidak bertanggungjawab, bagaimana mereka sanggup untuk menjejaskan keselamatan nasional menerusi protes untuk mendapatkan undi,” kata Ahli Parlimen Tangga Batu ini.

Idris mengaku bahawa Umno mengambil sikap terlalu “berpuas hati” dengan strategi kempen sebelum 2008 sehingga menyebabkan ia kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Kami tidak akan berada dalam keadaan selesa. Setiap undi bernilai,” katanya lagi.

Tiada ulasan: