Selasa, 2 Ogos 2011

‘Tiada rundingan PKR-Kita’

Ketua PKR Temerloh Ahmad Nizam Abdul Hamid berkata keputusan itu dibuat oleh mesyuarat Pakatan Rakyat negeri dua minggu lalu.



PETALING JAYA: PKR Pahang tidak akan berunding dengan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) dalam menentukan pembahagian kerusi di negeri itu dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti.

Ketua PKR Temerloh Ahmad Nizam Abdul Hamid berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Pakatan Rakyat negeri dua minggu lalu.

“Keputusan kita jelas, Pakatan Rakyat tidak boleh berunding dengan Kita. PKR tidak boleh, PAS dan DAP pun tidak boleh. Asas penolakan rundingan dengan Kita ialah parti itu bukan gabungan Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Timbalan Ketua PKR Pahang, Mohd Nor Jaafar yang juga Ketua Cabang PKR Jerantut yang mahu mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan Kita dalam PRU 13.

Mohd Noor meninggalkan PKR dan menyertai Kita dan dilantik sebagai Penyelaras Kita negeri Pahang kerana parti itu belum ditubuhkan secara rasmi di negeri itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Nizam yang juga AJK PKR Pahang berkata, Mohd Nor memang mahu berunding dengan pimpinan PKR negeri kerana mahu menuntut beberapa kerusi untuk Kita.

Bagaimanapun katanya, PKR tidak mahu dan tidak boleh berunding dengan Mohd Nor kerana parti beliau, Kita bukan gabungan Pakatan Rakyat.

Beliau juga menafikan laporan beberapa blog bahawa Mohd Nor telah mengadakan rundingan dengan PKR Pahang berhubung pembahagian kerusi di negeri itu.

Mohd Nor ketika dihubungi hari ini bagaimanapun, mengesahkan beliau telah menemui Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman di Kuantan, namum ia hanya perbincangan biasa.

“Saya memang ada meminta Datuk Fauzi memberikan peluang kepada Kita untuk bertanding tiga atau empat kerusi Dun (Dewan Undangan Negeri) di Pahang.

“Dia tanya saya Dun yang mana yang Kita mahu tetapi malangnya semua kerusi sudah ada calon PKR,” kata Mohd Nor.

Tiada ulasan: