Selasa, 2 Ogos 2011

Sekretariat Pembangunan gesa akta baru Kg Baru ditarik balik


KUALA LUMPUR – Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB), agensi di bawah Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Wakil Rakyat Titiwangsa, memberi jaminan akan terus mempertahankan dan membela nasib pemilik tanah di penempatan eksklusif orang Melayu seperti mana yang diperjuangkan oleh Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali.

Dr Lo’ Lo’, Ahli Parlimen Titiwangsa, meninggal dunia pada 17 Julai lalu akibat kanser.

Menurut Pengerusi SPKB Ahmad Zamri Asa’ad Khuzimi, pihaknya akan memastikan pemilik tanah kawasan itu mendapat keadilan yang sepatutnya walaupun ketiadaan wakil rakyat.

“SPKB menyatakan bahawa kami akan meneruskan perjuangan Dr Lo’ Lo’ untuk membela nasib pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

“Kami akan memastikan keadilan tertegak dalam usaha membangunkan tanah Kampung Baru dan kami akan pastikan harapan Dr Lo’ Lo’ akan tercapai,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, SPKB akan meneruskan desakan ke atas Putrajaya agar Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 yang akan dibawa ke Parlimen pada Oktober depan dimansuhkan.

“Selari dengan hasrat rakyat, SPKB akan menuntut agar Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 dimansuhkan.

“SPKB ingin menegaskan bahawa apa sahaja cadangan pembangunan Kampung Baru selepas ini mestilah dilakukan secara telus dan jujur dengan pemilik dan perwaris tanah selepas meminta pendapat, mengambil kira pandangan, dan mendapatkan persetujuan mereka sebelum dikemukakan di Parlimen,” katanya.

Tambah Ahmad Zamri, bagi memastikan hasrat itu tercapai pihaknya akan mengadakan program-program penerangan untuk menjelaskan perkara sebenar tentang cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu.

Kata beliau, pihaknya juga akan menerangkan secara terperinci mengenai pindaan yang dilakukan ke atas rang undang-undang itu.

“SPKB akan meneruskan program-program penerangan dan turun padang untuk menjelaskan kepada semua penduduk, perwaris dan pemilik tanah tentang cadangan pindaan Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 yang telah pun dibentangkan kali pertama pada 14 Disember lalu.

“SPKB berpendapat bahawa cadangan pindaan tersebut sangat mengelirukan kerana ia tidak mengubah langsung Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010, pemilik dan pewaris harus diberikan pemahaman yang jelas tentang perkara ini,” katanya.

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata rang undang-undang itu akan tetap dibacakan untuk kali kedua pada Oktober walaupun gagal berbuat demikian pada sesi Dewan Rakyat lalu.

Bagaimanapun keputusan akhir bergantung kepada referendum yang dibuat pemilik dan pewaris tanah.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah mengadakan sesi penerangan berhubung rang undang-undang itu yang dipinda ekoran protes pemilik dan pewaris tanah.

Hasil sesi penerangan itu kementerian tersebut berkata status rang undang-undang itu akan diserahkan kepada Kabinet jika referendum menunjukkan usaha kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti.

Dr Lo’ Lo’ sebelum meninggal dunia secara tegas menggesa agar rang undang-undang itu ditarik balik dan dikaji semula kerana menyifatkan ia tidak adil kepada pemilik tanah.

Tiada ulasan: