KUALA LUMPUR — Pertubuhan bukan kerajaan Page berharap kajian menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah tidak akan menjadi “wayang kulit politik yang tidak berkesudahan.”
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran masih mengkaji kemungkinan menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kajian itu perlu dilakukan dalam konteks kerajaan telah memutuskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sama ada tawaran atau pilihan boleh dibuat kepada mana-mana sekolah yang berminat tanpa menimbulkan sebarang masalah.
Sehubungan itu tegas Naib Pengerusi Page Sulaiman Mahran, pihaknya mahu kerajaan dalam memutuskan pelaksanaan MBMMBI, memberi pertimbangan agar opsyen Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibawa ke Kabinet untuk diluluskan.
“Selagi perkara ini tidak dilakukan, kata-kata dan kajian demi kajian hanyalah wayang kulit politik yang tidak berkesudahan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
“Bentangkanlah fakta kepada Kabinet dan biarkanlah mereka memutuskannya.
“Dan, biarkanlah ibu bapa membuat pilihan. Sudah pasti mereka, sama ada di bandar atau luar bandar akan memilih yang terbaik untuk anak-anak mereka,” kata beliau.
Sulaiman menambah tugas Kementerian Pelajaran adalah untuk memenuhi aspirasi pilihan ibu bapa seperti yang disuarakan dalam Akta Pendidikan 1996. “Lakukanlah yang sebaiknya demi anak kita dan masa depan negara kita tanpa berlengah lagi,” katanya.
Sulaiman berkata pihaknya menyambut baik kata-kata Muhyiddin bahawa Kementerian Pelajaran masih mengkaji kemungkinan menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah.
“Namun kata-kata tetap kata-kata, dan kajian tetap kajian,” katanya sambil menambah perkara tersebut sudah berlarutan selama dua tahun tanpa penyelesaian.
“Cuma membeli masa hingga 2012 di mana MBMMBI akan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Kata beliau Page terkilan kenapa kajian secara mendalam masih perlu dibuat ke atas PPSMI sedangkan dasar itu sedang berkuat kuasa.
“Kebaikan jangka masa panjang sudah dikenalpasti di bawah pentadbiran Tun Mahathir (Mohamad). Cuma kecacatan perlaksanaannya di bawah pentadbiran Tun Abdullah (Ahmad Badawi). Pentadbiran Datuk Seri Najib (Razak) sepatutnya memperbaiki semula pelaksanaannya bukan menghapuskannya.
PPSMI diperkenalkan ketika era Dr Mahathir.
“Apa yang sepatutnya dibuat ialah kajian mendalam ke atas polisi MBMMBI yang ternyata cacat sebab ia mengurangkan pendedahan pelajar kepada Bahasa Inggeris sebanyak 50 peratus,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan