Rabu, 24 Ogos 2011

MB Temui Harapan Komuniti, JAIS Esok

SHAH ALAM:Gerak Kerja Pendengaran yang ditubuhkan bagi menyelesaikan konflik berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu akan mengadakan pertemuan pada Khamis.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Gerak Kerja Pendengaran akan mengadakan pertemuan secara berasingan bersama dua kumpulan iaitu penganjur majlis makan malam 'Thanksgiving', Komuniti Harapan dan JAIS di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) bermula pada pukul 2 petang esok.

"Kita beri peluang kepada dua-dua pihak untuk beri penjelasan. Esok Gerak Kerja Pendengaran akan mendengar penjelasan mereka.

"Laporan terperinci daripada JAIS juga akan dibentangkan kepada kita esok,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, Rabu.

Pada Isnin, media melaporkan, bahawa Sultan Selangor telah menitahkan kerajaan negeri supaya menubuhkan majlis penasihat syura dalam usaha menyelesaikan pertikaian berhubung isu pemeriksaan terhadap DUMC oleh JAIS.

Abdul Khalid berkata bahawa baginda menitahkan demikian ketika beliau bersama Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid dan timbalannya, Datuk Abd Majid Omar menghadap baginda baru-baru ini.

Ditanya apakah penyelesaian yang beliau harapkan daripada pertemuan esok, Abdul Khalid berkata: “Tak apalah, kedua-duanya akan beri penjelasan apa yang berlaku dan kita akan dengar.

“Saya tak ada nak buat spekulasi apa yang akan diterangkan oleh mereka".

Mengulas lanjut mengenai pertemuan esok, Abdul Khalid berkata setiap kumpulan akan diberi tempoh selama sejam untuk memberi penjelasan kepada panel Gerak Kerja Pendengaran yang telah dilantik.

“Hasilnya, kita akan bincangkan dan kemudian laporannya kita akan beri kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri belum menetapkan tarikh untuk mempersembahkan laporan gerak kerja itu kepada baginda.

Katanya, beliau ingin memberi masa kepada gerak kerja tersebut untuk mendapatkan penjelasan daripada JAIS.

Dalam perkembangan berkaitan, berhubung kemurkaan Sultan Selangor dengan tindakan kerajaan negeri mengumumkan Majlis Syura bagi menyelesaikan konflik tersebut, Abdul Khalid berkata beliau baru sahaja bertemu dengan baginda dalam satu majlis pada Selasa.

"Bukan sahaja kami buka puasa, tapi juga sembahyang maghrib berjemaah dan solat tarawih 20 rakaat," katanya sambil tersenyum.

Jelasnya, jawatankuasa berkenaan kini dipanggil Gerak Kerja Pendengaran bagi mengelakkan konflik dengan Majlis Syura Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pada petang Selasa, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, baginda melahirkan rasa terkejut dan murka dengan tindakan Menteri Besar yang mengatakan penubuhan Majlis Syura adalah atas titahnya.

Mohamad Munir dipetik sebagai berkata baginda langsung tidak titahkan Menteri Besar menubuhkan Majlis Syura, dan tuanku terkejut serta murka dengan apa yang berlaku.

Tambah beliau, Majlis Syura tidak diperlukan kerana JAIS negeri itu juga mempunyai MAIS dan Jabatan Mufti.

Tiada ulasan: