Isnin, 29 Ogos 2011

MAS Yang Bukan Lagi Emas

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT


HATTA dicurahkan dana setinggi Gunung Everest sekalipun, sesebuah perniagaan akan mengalami keadaan hidup segan mati tak mahu sekiranya mereka yang terlibat mengendalikannya – daripada peringkat pengurusan atas sehinggalah kepada pekerja biasa – tidak berdedikasi dan menganggap segala sumber kewangan itu, bak kata peribahasa pasar, “harta bapak dia.”

Jika ia sebuah entiti swasta di mana modalnya dibiayai oleh pemegang saham persendirian maka tentulah tak perlu masa begitu lama untuk ia akhirnya gulung tikar atau diisytihar muflis atau setidak-tidaknya ‘tak solven’ oleh mahkamah. Bukanlah sesuatu luar biasa sekiranya reincarnation atau penjelmaan semula kehidupan baru ini mengambil nama yang berbeza walaupun aset tetap asal dan sebahagian besar kakitangannya terus menjadi tubuh dan bahagian anggota entiti perniagaan berkenaan.

Ambil sahaja contoh Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) yang ditubuhkan oleh kerajaan pada tahun 1965 untuk membantu orang Melayu berniaga. Skandal 1980-an anak syarikatnya, BMF pada nada sekitar RM2.5 bilion yang menyapu bersih seluruh modal berbayarnya mengakibat bank milik kerajaan ini bertukar nama beberapa kali menerusi pengambilalihan oleh GLC lain, kemudiannya penggabungan di mana kerajaan masih memegang saham majoriti dan akhirnya penggabungan di mana kerajaan tidak lagi memegang saham majoritinya.

Kini fenomena penjelmaan semula ini nampaknya mula melanda syarikat penerbangan nasional setelah sekian lama ia seolah-olah diurus dengan berkonvensyenkan sistem pengurusan ‘harta bapak dia’.

Dari penerbangan sulung Kuala-Lumpur-Pulau Pinang MAL (Malayan Airways Limited) pada 2 Februari 1947 kepada Malaysian Airways Limited pada November 1963, kepada Malaysia-Singapore Airlines pada Ogos 1965 sehinggalah kepada Malaysian Airline System (MAS) pada April 1971, syarikat penerbangan yang diasosiasikan oleh dunia sebagai sesuatu dari Malaysia ini terus mencatatkan prestasi kewangan yang boleh diterima akal.

Malah penjelmaan atau penjenamaan semula hanyalah disebabkan penstrukturan semula yang tidak berdasarkan keperluan penyuntikan modal disebabkan hutang dan lainlain beban kewangan.

Pada tahun 1987 tatkala kerajaan di bawah kepimpinan Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) sedang begitu kemaruk dengan penswastaan, syarikat penerbangan negara ini bertukar menjadi Malaysian Airlines dan untuk memenuhi impian penswastaan ini sebanyak 29.9 peratus saham syarikat ini telah dijual kepada seorang individu Bumiputra pada tahun 1994. Tidak perlu disebutkan di sini betapa individu ini ketika itu adalah merupakan anak emas kepada pemimpin tertentu Umno yang berjawatan menteri.

Di sebalik cakap-cakap perniagaan dalam media oleh individu ini serta beberapa orang pengurus kanannya yang bertanggungjawab terhadap pengurusan penjelmaan/ penjanamaan syarikat penerbangan nasional, yang bunyinya lebih hebat daripada Howard Putnam (tokoh CEO lagenda syarikat penerbangan yang telah menjadikan Southwest Airlines, sebuah syarikat penerbangan kecil berpangkalan di Dallas, Amerika Syarikat kepada sebuah syarikat pemimpin industri penerbangan di dunia dengan rekod untung selama 35 tahun berturut-turut sejak ia ditubuhkan), rupa-rupanya ia ibarat memukul tong kosong sahaja.

Pada ketika individu ini mula menerajui MAS, jumlah liabiliti syarikat itu adalah RM6.6 bilion tetapi ketika beliau menyerah kalah dan akhirnya menyedari dia bukanlah seorang seperti Howard Putnam dan menjualkan semula saham MAS kepada kerajaan pada harga asal yang dibelinya, syarikat penerbangan itu mencatatkan hutang atau jumlah lialibiliti sebanyak RM9.5 bilion.

Tidaklah diketahui sekiranya Dr Mahathir ketika itu menyedari betapa dalam sebutan Malaysia Incorporated, konsep yang disadurnya daripada Jepun, kerajaannya bukan sahaja terpaksa menanggung tambahan hutang RM3 bilion tetapi terpaksa menyerap kerugian perbezaan di antara harga saham semasa dengan harga yang harus dibayar kembali kepada individu berkenaan.

(Akhbar Utusan Malaysia, 21 Disember 2001 melaporkan: “Sementara itu, difahamkan kerajaan menggunakan wang Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) bagi pembelian MAS pada harga RM1,792 bilion.”) Bermula saat ini, keadaan syarikat penerbangan negara terus merosot.

Kalau ia sebuah syarikat swasta, sudah lama gulung tikar. Tetapi disebabkan ia sebuah GLC, sebagaimana yang disebut, betapa super nazak sekalipun keadaan yang dialami, ia tetap dapat dihidupkan semula.

Pada tahun 2005 Dato’ Idris Jala telah dilantik selaku CEO baru MAS menggantikan beberapa tokoh pengurusan tertinggi Melayu yang gagal mempamerkan sebarang prestasi bagi menunjukkan MAS sudah mula mengorak langkah pemulihan.

Idris Jala tampak hebat dengan Business Turnaround Plan (BTP) beliau yang dibentangkan pada Februari 2006 dan malah berjaya mengubah angka keuntungan MAS daripada angka dalam kurungan kepada angka tanpa kuru ngan.

Namun di sebalik sorak sorai media dengan segala puji-pujiannya, masalah MAS jauh daripada selesai. Hari ini, lima tahun selepas BTP, penyata kewangan MAS masih lagi mencerminkan pelbagai kebobrokan pengurusan.

Kerajaan tentu sekali berupaya mengekalkan status MAS sebagai sebuah syarikat kerajaan dengan profil pegangan saham 69.5 peratus dan menyuntik dana tambahan serta dalam waktu yang sama melantik tokoh yang bersedia bekerja keras untuk syarikat penerbangan itu dan bukannya sekadar seorang yang seronok datang ke pejabat dengan berkot dan menaiki penerbangan kelas pertama secara percuma ke semua destinasi.

Bagaimanapun di atas sebab yang hanya diketahui oleh kerajaan Umno-BN, 20 peratus daripada pegangan ini kini dijual kepada sebuah syarikat penerbangan lain.

Dengan jumlah liabiliti pada paras menghampiri RM4 bilion dan kerugian terkumpul sejumlah RM5.7 bilion se perti ditunjukkan oleh penyata kewangan MAS bagi tahun berakhir 31 Disember 2010, tidaklah pasti sekiranya keputusan menjual saham MAS itu merupakan satu keputusan baik.

Tidak mustahil dalam masa beberapa tahun dari sekarang, pembeli 20 peratus saham MAS ini akan menjual kembali pegangannya kepada kerajaan sebagaimana yang berlaku pada individu yang disebut itu.

Jika ini berlaku, apa pula yang kerajaan Umno-BN mahu lakukan selanjutnya.

Namun bagi sesebuah entiti perniagaan milik kerajaan, kini disebut dengan istilah popular, GLC, bermaksud Government-Linked Companies, keupayaan dihidupkan semula walaupun sudah mengalami keadaan super nazak adalah sesuatu boleh berlaku berulang-ulang kali.

Tiada ulasan: