Ahad, 14 Ogos 2011

Kontoversi Tapak Kuil Hindu Kuil Hindu Maha Mariaman, Tokong Tow Boo Keong Selesai

Ditulis oleh Nur Atiqah Abd Samad


PETALING JAYA : Isu berhubung Kuil Hindu Maha Mariaman dan Tokong Tow Boo Keong di sini menemui jalan penyelesaian apabila pihak pemaju Selangor Dredging Berhad (SDB) bersetuju untuk menyediakan tapak bagi kedua-dua rumah ibadat tersebut.

Menurut ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, pihak pemaju akan menghubungi ahli jawatankuasa rumah ibadat masing-masing untuk berbincang mengenai perkara itu.

"Pihak pemaju telah memberikan mesej selepas berbincang dengan ahli lembaga, mereka kini bersetuju untuk menempatkan 10,000 kaki persegi untuk setiap satu rumah ibadat, satu mesyuarat akan diaturkan bersama ahli jawatankuasa secepat mungkin,"katanya kepada pemberita semalam.

Untuk rekod, syarat kebenaran merancang yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Pembangunan telah dinafikan pemaju, namun atas inisiatif pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya menemui dokumen yang telah ditandatangani pemaju sebelum ini.

Syarat yang telah dipersetujui adalah penyediaan tapak kuil dan tokong, bahkan pemaju juga dikehendaki menyediakan tapak kuil dan tokong yang berkeluasan 10,000 kaki persegi setiap satu kemudahan.

"Dengan bantuan semua ahli majlis dari MBPJ untuk mendapatkan dokumen yang kita telah cari selama ini, akhirnya kita dapat satu kebenaran merancang. Di mana ada satu syarat yang telah ditetapkan dalam kebenaran ini bahawa tanah perlu diagihkan kepada kedua-dua kuil dan tokong ini, tanah sebesar 10,000 kaki persegi setiap kuil,"katanya.

Pada Jun lalu penduduk di kawasan Seksyen 19 di sini mengecam tindakan pemaju yang mahu mereka mengosongkan dua buah rumah ibadat bukan Islam yang terdapat di kawasan itu supaya projek pembangunan komersil dapat dijalankan.

Mereka mendakwa tindakan diambil pemaju itu menafikan hak mereka sebagai penganut agama di mana rumah ibadat yang dibina itu mendapat kelulusan dan diakui oleh MBPJ.

Malah sebuah papan tanda untuk satu projek pembangunan di kawasan itu telah dipasang di kawasan berhampiran pada minggu lalu tetapi tarikh akhir bagi bantahan dicatatkan pada 19 April lalu.

Tiada ulasan: