Khamis, 25 Ogos 2011

Empat Pelajar Kolej Dari Rusia Dihukum Penjara 8-10 Tahun Rogol Rakyat Malaysia Di London

MSTAR ONLINE

Empat Pelajar Kolej Dari Rusia Dihukum Penjara 8-10 Tahun Rogol Rakyat Malaysia Di London

LONDON: Sebuah mahkamah di sini menjatuhkan hukuman penjara antara lapan hingga 10 tahun ke atas empat pelajar warganegara Rusia dari sebuah kolej swasta di sini kerana merogol rakan sekolej mereka dari Malaysia.

Keempat-empat mereka telah merakamkan perbuatan mereka itu menerusi sebuah telefon bimbit.

Mangsa berusia 18 tahun ketika kejadian.

Hakim Mahkamah Crown Woolwich, Peter Murphy berkata, Norayr Davtyan, 22; Grigory Melnikov, 23; Armen Simonyan, 20 dan Oleg Ivanov, 23, telah mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan ke atas mangsa ketika merogolnya.

Ketua kumpulan tersebut, Davtyan dihukum penjara 10 tahun, Melnikov sembilan tahun manakala Ivanov dan Simonyan masing-masing lapan tahun di atas jenayah yang mereka lakukan itu.

“Rakaman perbuatan mereka dari telefon bimbit itu dengan jelas sekali mengambarkan satu perkara sahaja iaitu sikap tidak mempunyai perasaan terhadap penderitaan orang lain atau hanya sekadar satu objek untuk melepaskan keseronokan mereka,” kata hakim tersebut ketika membaca penghakimannya.

Katanya lagi, walaupun keempat-empat tertuduh cuba membuktikan bahawa mereka tidak merancang untuk melakukan perbuatan tersebut tetapi sebaik sahaja mereka melakukannya amat jelas sekali dari rakaman tersebut, yang mereka saling mengalakkan satu sama lain agar meneruskannya dan yang lebih teruk ialah mereka meraikannya bagaikan seorang pemain bolasepak profesional merayakan jaringan gol mereka.

Beliau juga berkata, dari rakaman itu juga amat jelas sekali mangsa beberapa kali mengulangi kata-kata “tidak” kepada mereka tetapi ia tidak diendahkan.

“Tidak ada siapapun setelah berpeluang menyaksikan rakaman tersebut akan dapat meninggalkan perbicaraan ini tanpa merasa jijik,” tegasnya lagi.

Kejadian tersebut berlaku pada 21 Januari lalu apabila mangsa menghadiri majlis keramaian anjuran Davtyan di kolej mereka.

Selepas mengambil minuman keras, mangsa telah pengsan dan ketika dia sedar dia dapati dirinya sedang dirogol oleh Davtyan. Yang lain-lain kemudiannya menyertai Davtyan merogol mangsa.

Kesemua tertuduh dan juga mangsa adalah penuntut sebuah kolej swasta eksklusif yang mana yuran tahunannya tidak kurang dari 30,000 pound sterling.

Tiada ulasan: