Sabtu, 27 Ogos 2011

BERITA RTM: SIAPA YANG TONTON?

Oleh: Kaki Bakau

Ada satu soalan yang sentiasa bermain di fikiran saya – siapakah sebenarnya penonton siaran Berita Perdana yang disiarkan oleh TV1?

Telah banyak kawan rakan yang saya tanya; telah banyak juga tinjauan rambang dibuat di kampung-kampung, di restoran dan di gerai, jawapan yang saya dapat setakat ini tentu saja tidak menggembirakan RTM.

Daripada apa yang saya nampak, dengar dan tahu, kebanyakan penonton memilih Buletin Utama di TV3. Sebahagian lagi menonton Awani. Yang menonton berita di TV8, TV9 dan Bernama TV pun ada walaupun tidaklah begitu ramai.

Tetapi TV1?

Kalau ditonton pun selalunya hanyalah secara kebetulan. Atau atas sebab tertentu. Seseorang yang kebetulan diwawancara oleh pemberita RTM, atau yang menghadiri majlis yang turut diberi liputan oleh RTM, mungkin menontonnya kerana hendak melihat muka sendiri atau muka kawan dan kenalan.

Selain mereka, siapa lagi? Mungkin di luar pengetahuan saya, ramai yang menontonnya. Sangat ramai. Tetapi, mungkinkah? Apa yang saya dengar, penyokong tegar kerajaan pun tidak begitu berminat menontonnya.

Apa Kata Wanita...mendapat sambutan penonton

Memanglah di mana-mana pun populariti setesen TV milik kerajaan tidak boleh dibandingkan dengan setesen-setesen TV swasta. Asas kewujudan dan halatujunya pun lain. Setesen kerajaan lebih berperanan menyampaikan maklumat, khususnya yang berkaitan dengan dasar-dasar pemerintah. Dengan bahasa kasarnya, sebagai alat propaganda.

Tetapi akan tercapaikah matlamat itu kalau kadar yang menontonnya susut dari semasa ke semasa sedangkan pada masa yang sama, kadar peningkatan jumlah saingan pula terus bertambah?

Saya tak kata RTM umumnya dan TV1 khususnya perlu mengejar rating. Tak perlu. Tetapi seboleh-bolehnya pastikanlah setiap bahan yang disiarkan itu ditonton ramai. Jadi ia tidaklah sia-sia begitu sahaja.

Banyak yang perlu dan boleh dilakukan. Pembaharuan dalam persembahan dan kaedah liputan harus diberi perhatian. Janganlah sampai orang beranggapan, Berita Perdana sekarang sama sahaja dengan sepuluh atau lima belas atau dua puluh tahun dahulu. Yang berubah mungkin pembaca beritanya sahaja.

Mungkin ada yang berkata, kalau namanya alat propaganda, biar bagaimana sekali pun pembaharuan dibuat, orang tetap tidak berminat untuk menontonnya. Saya rasa kata-kata itu masih boleh disangkal. Drama-drama yang tersiar di TV1 misalnya diketahui mempunyai unsur-unsur propaganda yang tebal berbanding drama-drama di setesen swasta. Tetapi banyak penggemar drama tegar mengaku mereka selesa menonton drama di setesen milik kerajaan itu kerana sejak dahulu kualitinya memang terpelihara. Ertinya, penonton sanggup meletakkan propaganda itu ke tepi kalau mutu persembahannya menarik dan bagus.

Begitu juga dengan ruangan ‘Apa Kata Wanita’ yang berupa bual bicara bersama Zamzarina, yang diminati ramai walaupun kandungannya tidaklah bersifat pop seperti kebanyakan program seumpamanya di setesen-setesen swasta.

Saya yakin dengan sedikit kreativiti, Berita Perdana juga mampu menyaingi siaran-siaran berita utama di setesen-setesen swasta. Dengan segala kemudahan yang dimiliki, termasuk mengakses maklumat yang sukar diperolehi oleh setesen-setesen swasta, RTM sepatutnya mampu menyediakan satu siaran berita yang benar-benar ada ‘umphhh’ bukannya sekadar siaran yang sendiri buat, sendiri tonton.

Tiada ulasan: